
Perwakilan Wanita Umno Kelantan berkata jentera yang digerakkan oleh ‘pelancong pilihan raya’ sebenarnya tidak membantu kemenangan parti, lantaran mereka tidak maklum tentang hal ehwal parti mahupun pendirian dalam sesuatu isu.
“Cukuplah wanita berhadapan dengan jentera tangkap muat, yang apabila diarahkan melaksanakan tugas, mereka gagal melaksanakan dengan baik, gagal memberi makluman berkaitan parti, gagal menjawab persoalan yang dibangkitkan, seterusnya gagal menarik sokongan pengundi kepada parti.
“Kita tidak mahu lagi ada istilah ‘pelancong pilihan raya’,” kata Norfazdlete Aryani, ketika berucap membahaskan ucapan dasar ketua Wanita sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Wanita Kelantan berkata sayap memerlukan pasukan khusus yang dipersiapkan dengan kepakaran, maklumat dan imbuhan khas, serta diberi latihan secara berkala, untuk menghadapi pilihan raya.
Sayap juga perlu diberi tanggungjawab untuk membentuk dan mengurus sepenuhnya gerak kerja tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Norfazdlete berkata gerak kerja Wanita tidak boleh bermula hanya apabila pilihan raya makin hampir.
“Ia mesti disusun lebih awal, dirancang dengan teliti dan digerakkan secara berterusan,” katanya.