Bedah siasat temui 11 kesan tikaman di badan guru besar

Bedah siasat temui 11 kesan tikaman di badan guru besar

Polis berkata terdapat luka tikaman di leher mangsa wanita.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohamad Zainal Abdullah berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan 21 saksi sudah diambil keterangan setakat ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kematian guru besar dan isteri di rumah mereka di Sri Aman, Rabu lalu akibat tikaman objek tajam, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohamad Zainal Abdullah.

Menurutnya, hasil bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam mendapati leher dan dada mangsa lelaki mempunyai 11 kecederaan akibat objek tajam.

“Sebab kematian disahkan sebagai ‘neck and chest injuries due to stab wounds’.

“Hasil bedah siasat ke atas mangsa wanita pula mendapati luka tikaman di leher dan sebab kematian disahkan sebagai ‘neck injury due to stab wounds’,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, 21 saksi terdiri daripada ahli keluarga, jiran dan rakan sekerja mangsa sudah diambil keterangan setakat ini.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi boleh mengganggu siasatan dan menghormati privasi keluarga mangsa.

Kelmarin, media melaporkan sepasang suami isteri ditemui maut dengan kecederaan serius pada badan di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun.

Mangsa lelaki berusia 45 tahun bertugas sebagai guru besar sebuah sekolah di Lubok Antu, manakala isterinya 44 tahun ialah jururawat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.