Permohonan maaf daripada Rex Tan

Permohonan maaf daripada Rex Tan

Saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kontroversi dan ketegangan yang tercetus akibat kenyataan saya di forum Gaza baru-baru ini.

FMT logo
PETALING JAYA:
Nama saya Rex Tan, seorang wartawan di Free Malaysia Today (FMT). Dengan penuh keinsafan dan tanpa sebarang syarat, saya ingin memohon maaf atas persoalan yang telah saya kemukakan semasa wacana awam bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” pada 12 Januari 2026.

Saya ingin memohon maaf dengan seikhlas hati atas soalan saya, kerana tidak mengambil kira kesesuaiannya dengan konteks majlis, serta kerana mengemukakannya tanpa pertimbangan yang wajar terhadap sensitiviti isu berkenaan.

Yang paling saya kesali ialah tindakan saya menyentuh soal hubungan kaum Cina dan Melayu, sesuatu yang sama sekali tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak berniat untuk menghasut, apatah lagi mengemukakan soalan yang bersifat perkauman.

Saya juga tidak berniat untuk menimbulkan kegelisahan atau menyinggung perasaan mana-mana komuniti, sama ada masyarakat Melayu, Cina, mahupun rakyat Palestin. Saya benar-benar kesal kerana kekurangan sensitiviti saya telah menyebabkan ketegangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Saya telah meneliti dan mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Media Malaysia serta pelbagai pihak lain berhubung kesilapan saya dalam perkara ini.

Saya juga mengakui bahawa rujukan saya terhadap Malaya dalam soalan tersebut adalah keterlaluan, tidak relevan, mengelirukan dan tidak perlu sama sekali.

Sehubungan itu, saya sekali lagi memohon maaf kerana gagal bersikap profesional sebagai seorang wartawan.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak lain, saya ingin tekankan bahawa kelemahan dan kekhilafan ini datangnya dari saya sendiri. Oleh itu, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan tidak melibatkan FMT dalam hal ini, atau menjadikan keluarga dan kenalan saya sebagai sasaran.

Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan mengambil kira bahawa persoalan saya tidak menggunakan istilah “apartheid” dan tidak pernah bertujuan untuk menyamakan keadaan masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin. Perkara ini telah saya jelaskan apabila saya diberi peluang kedua untuk bercakap, di mana saya menyatakan: “Saya sama sekali tidak berniat membandingkan keadaan semasa masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin. Saya akui perbandingan sedemikian tidak masuk akal.”

Pada masa yang sama, saya ingin mengulangi sokongan penuh saya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk merdeka dan hidup bebas daripada pencerobohan Israel di wilayah mereka.

Dalam konteks ini juga, saya ingin menjelaskan bahawa hantaran oleh Zaid Ibrahim telah menyalah tafsir soalan saya apabila beliau mendakwa bahawa saya telah bertanya, ‘Adakah dasar apartheid yang bersifat diskriminasi oleh pihak Israel menyerupai cara orang Melayu melayan masyarakat Cina di sini,’ sedangkan istilah ‘apartheid’ tidak disebut dalam soalan saya.

Saya sangat berharap agar isu ini dapat diredakan segera.

Ingin saya nyatakan sekali lagi bahawa saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kontroversi dan ketegangan yang tercetus ini.

Akhir kata, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas kesilapan saya dan berharap perkara ini tidak menjejaskan FMT atau mereka yang saya sayangi.

Seikhlas hati,
Rex Tan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.