Namewee mengaku tak salah miliki dadah

Namewee mengaku tak salah miliki dadah

Wee Meng Chee mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan memiliki 0.78g Sildenafil bawah Akta Racun.

namewee Wee Meng Chee
Penyanyi Wee Meng Chee turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pindaan memiliki 1.57g methamphetamine. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee yang lebih dikenali Namewee mengaku tidak salah terhadap satu pertuduhan baharu di Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki bahan terlarang.

Wee didakwa memiliki 0.78g Sildenafil, bahan terlarang yang biasa ditemui dalam ubat mati pucuk, di sebuah bilik di Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay, pada 22 Okt lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun, yang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau hukuman penjara hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Wee turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan pindaan memiliki 1.57g methamphetamine di hotel sama.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan kes.

Wee sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dan seorang penjamin atas tuduhan memiliki dadah.

Bulan lalu, Wee dibebaskan daripada tuduhan mengambil dadah selepas ujian air kencingnya menunjukkan keputusan negatif.

Dia ditahan di sebuah hotel di ibu negara 22 Okt lalu, di mana sembilan pil biru, disyaki ekstasi ditemui dalam biliknya.

Polis mendakwa dia didapati positif amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC. Dua hari kemudian, dia didakwa di mahkamah.

Wee turut ditahan dalam siasatan ke atas kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin. Dia dibebaskan dengan ikat jamin, sementara menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.