
Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad, berkata langkah itu sebahagian usaha memelihara akauntabiliti dan disiplin pegawai, termasuk menangani cabaran rasuah dan sindiket antarabangsa.
“Langkah lain termasuk pelaksanaan ujian air kencing secara berkala bagi memastikan pegawai bebas daripada pengaruh dadah, kerana ketagihan bahan terlarang dikenal pasti sebagai punca yang boleh meruntuhkan integriti seseorang pegawai.
“Penggunaan kamera badan dalam kalangan pegawai operasi di lapangan terbang juga menunjukkan impak positif apabila statistik aduan daripada penumpang dan masyarakat didapati semakin menurun,” katanya menurut Bernama.
Mengulas mekanisme pemantauan, Zulkifli menekankan keberkesanan inisiatif lawatan mengejut diterajui Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin, yang setakat ini telah melakukan 88 lawatan ke pelbagai stesen kastam.
“Lawatan mengejut ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan, sebaliknya sebagai langkah pencegahan awal untuk mengesan risiko dan masalah pegawai.”
Beliau turut memaklumkan sambutan Hari Kastam Sedunia 2026 pada 26 Jan di Cyber Hall Event, Cyberjaya, akan disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.