
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata lelaki berusia 50 tahun itu menyertai pelaburan ‘JMC Capital Club’ selepas tertarik dengan iklan di Facebook tahun lalu.
Katanya, lelaki itu kemudiannya menyertai kumpulan WhatsApp dan diminta memuat turun aplikasi pelaburan ‘TRADEJMC’ menunjukkan keuntungan ‘atas kertas’ yang terus meningkat sehingga RM16.7 Juta.
“Percaya dengan angka keuntungan di aplikasi tersebut, mangsa melakukan 23 kali transaksi berjumlah RM1.25 juta ke beberapa akaun bank tempatan milik pihak ketiga antara Oktober hingga Disember 2025,” kata jabatan itu di Facebook.
Katanya, akaun bank yang dipercayai akaun keldai syarikat itu menggunakan nama JMC M Trading Venture, JMC Top Trading, JCG Entire Trading Sdn. Bhd., dan JMC Flex Solution.
Mangsa mengesyaki dia ditipu apabila mahu mengeluarkan keuntungan selepas diminta membayar ‘yuran pengeluaran’ tambahan sebanyak RM4.5 Juta iaitu 30% daripada keuntungan.
Semakan mangsa mendapati pelaburan itu tidak mempunyai kaitan dengan firma kewangan dan pelaburan antarabangsa yang berpangkalan di Hong Kong menyebabkan dia buat laporan polis pada 6 Jan.
JSJK berkata sebanyak 20 laporan polis diterima berkait syarikat JMC M Trading Venture dan JMC Top Trading.
Jabatan itu memaklumkan status pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bukan jaminan keselamatan transaksi kerana akaun syarikat atau perniagaan berdaftar juga berpotensi disalahgunakan sebagai akaun keldai bagi aktiviti penipuan pelaburan.
Orang ramai dinasihatkan membuat semakan di semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan transaksi dan jangan mudah terpedaya dengan iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat.