Pemuda Umno cabar PH namakan calon MB Johor

Pemuda Umno cabar PH namakan calon MB Johor

Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata cabaran itu susulan cadangan pertandingan 'free for all' oleh PH untuk PRN akan datang.

Noor Azleen Ambros
Noor Azleen Ambros berkata Umno Johor bersedia berdepan sesiapa sahaja pada PRN akan datang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno Johor mencabar Pakatan Harapan (PH) menamakan calon menteri besar, susulan kesediaan parti itu bertanding semua kerusi mengikut konsep ‘free for all’ pada PRN akan datang.

Ketuanya Noor Azleen Ambros berkata rakyat negeri itu pastinya berminat untuk mengetahui poster boy atau calon menteri datang dari gabungan itu.

“Saya pasti mereka boleh menamakan calon MB jika ‘free for all’ pada PRN akan datang.

“Kita bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja di Johor,” katanya kepada FMT sambil menekankan Umno dan Barisan Nasional (BN) sedia bertanding solo walaupun mengalu-alukan kerjasama politik dengan parti lain.

Noor Azleen mengulas kenyataan Ketua PH Johor Aminolhuda Hassan yang berpendapat konsep ‘free for all’ mungkin pilihan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan mewujudkan kerjasama BN di negeri itu.

Aminolhuda berkata menerusi pendekatan itu semua parti boleh bertanding di kerusi yang dituntut, sekali gus mengelakkan polemik ‘kerjasama perpaduan’ seperti di peringkat persekutuan.

Menurut Ahli Parlimen Sri Gading itu, cadangan itu juga dibuat memandangkan tiada kerjasama BN-PH dalam pentadbiran Johor.

Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad berkata PH sedia berdepan pertandingan tiga penjuru pada PRN tanpa bergantung sebarang rundingan pembahagian kerusi dengan BN.

Menurutnya, kerjasama pilihan raya antara keduanya dilihat tidak konsisten serta mengelirukan pengundi memandangkan kerajaan negeri dikuasai BN tanpa pembabitan rasmi PH.

PRN Johor 2022 menyaksikan BN menguasai 40 daripada 56 kerusi manakala PH menang 12 kerusi diikuti Perikatan Nasional (3) dan satu oleh Muda.

Tahun lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.