
Dalam sepucuk surat kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, peguam mereka M Manoharan berkata anak guamnya, yang didapati memiliki dadah, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun oleh mahkamah di Tehran pada 2013.

Manoharan mendakwa dadah tersebut telah dimasukkan ke dalam bagasi mereka oleh individu yang mengarahkan mereka menghantar beg berkenaan kepada satu pihak di Iran.
Beliau berkata kedua-dua wanita itu menjalani hukuman penjara selama enam tahun di Iran sebelum kembali ke Malaysia pada 2019 untuk menjalani baki hukuman di bawah Program Pemindahan Antarabangsa Banduan, sebagai pertukaran kepada 102 tahanan Iran.
Menurut Manoharan, Seksyen 18(a) Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan memperuntukkan bahawa banduan sedemikian tidak boleh dinafikan kelayakan untuk parol, pengampunan, penangguhan atau pengurangan hukuman.
Beliau berkata kedua-dua wanita itu hanya transit di Tehran dalam perjalanan bercuti ke Jepun, dengan semua urusan perjalanan diatur oleh seorang ejen pelancongan yang mereka kenali sebagai ‘Mathavan’.
“Mereka telah dijadikan keldai dadah tanpa pengetahuan mereka dan merupakan mangsa sindiket besar. Kami berharap menteri akan memberi mereka peluang hidup baharu kerana tempoh pemenjaraan yang dilalui sudah lebih daripada cukup sebagai hukuman atas kejahilan mereka,” katanya dalam surat yang dilihat FMT.
“Mereka telah menjalani hukuman keseluruhan selama 12 tahun. Wanita yang lebih muda baru berusia 14 tahun ketika dipenjarakan, manakala ibu saudaranya berusia 47 tahun.
“Tingkah laku mereka di penjara Iran dan Malaysia juga amat baik, tanpa sebarang laporan salah laku.”
Manoharan berkata kedua-duanya mengalami tekanan mental dan emosi yang teruk ketika dipenjarakan di luar negara, selain tidak dibenarkan menerima pelawat selama enam tahun. Katanya, kehidupan mereka tidak wajar disia-siakan dengan sebahagian besar masa dihabiskan di penjara.
Beliau berkata wanita yang lebih muda itu, kini berusia 26 tahun, masih mempunyai masa depan yang panjang.
“Kami merayu supaya kedua-dua mereka diberikan parol mengikut syarat biasa.”
FMT telah menghubungi Saifuddin untuk mendapatkan komen.