Paras empangan rendah, Perak mohon pembenihan awan

Paras empangan rendah, Perak mohon pembenihan awan

Exco Perak Mohammad Nizar Jamaluddin berkata ia susulan kemarau berterusan yang berpotensi menjejaskan bekalan air pengairan dan domestik.

Exco Perak Mohammad Nizar Jamaluddin berkata permohonan melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan, khasnya sekitar Tasik Temenggor dan Empangan Bukit Merah sebagai langkah mitigasi bagi meningkatkan peluang hujan dan elak pemberhentian bekalan air pengairan serta domestik. (Gambar Bernama)
IPOH:
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak memohon pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah dan hulu lembangan Sungai Perak sebagai langkah mitigasi bagi memastikan kelestarian pengurusan sumber air di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata permohonan rasmi itu dikemukakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri susulan kemarau berterusan yang berpotensi menjejaskan bekalan air pengairan dan domestik.

“Pejabat INTAP (Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam) mengambil maklum serta menyokong penuh usaha permohonan JPS melaksanakan OPA pada kadar segera di kawasan tadahan, khususnya di sekitar Tasik Temenggor dan Empangan Bukit Merah sebagai langkah mitigasi strategik bagi meningkatkan peluang hujan, seterusnya mengelak pemberhentian bekalan air pengairan dan domestik, sekiranya kemarau berterusan.

“Ia dilaksanakan secara bersepadu melibatkan agensi termasuk Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak (LPSA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, JPS Kerian, Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Meteorologi, Pertubuhan Peladang Kawasan, Agensi Pengurusan Bencana Negara serta Tentera Udara Diraja Malaysia.”

Beliau berkata, hasil pemantauan berterusan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap sistem empangan Sungai Perak mendapati paras air Tasik Temengor di tahap rendah susulan kadar kemasukan air semula jadi terhad dari kawasan tadahan disebabkan taburan hujan berkurangan sejak beberapa bulan ini.

Nizar berkata, keadaan itu memberi kesan rantaian kepada empangan di hilir, iaitu Tasik Bersia, Tasik Kenering dan Tasik Chenderoh, yang kini hampir pada paras operasi minimum TNB.

“Dalam keadaan semasa, keupayaan pelepasan air ke hiliran dari Empangan Chenderoh terhad kira-kira 100 hingga 120m padu sesaat bagi memastikan kestabilan paras empangan, kesinambungan aliran Sungai Perak serta mengelakkan takungan memasuki zon operasi kritikal yang boleh menjejaskan pengurusan sumber air secara keseluruhan.”

Beliau berkata, pihaknya melihat kekangan pelepasan itu bukan sekadar isu operasi empangan, sebaliknya mungkin berpotensi memberi implikasi lebih meluas kepada negeri ini, antaranya tekanan terhadap keperluan air bagi sektor pertanian dan pengairan di kawasan hilir, khasnya di Perak Tengah.

Selain itu, katanya, ia memberi kesan langsung kepada sosioekonomi komuniti setempat yang bergantung kepada sumber air Sungai Perak dan kemerosotan aktiviti ekopelancongan di kawasan Tasik Temenggor serta Tasik Raban susulan paras air rendah.

“Kesan lain ialah risiko jangka sederhana terhadap jaminan bekalan air dan tenaga, termasuk sokongan operasi penjanaan Stesen Janakuasa Janamanjung yang menyumbang kira-kira 25% keperluan tenaga Semenanjung Malaysia serta berkait rapat kestabilan bekalan air negeri.”

Dalam pada itu, beliau berkata, status semasa paras air Tasik Bukit Merah adalah 21.05 kaki (6.416m) dengan baki simpanan air sekitar 10.837 juta meter padu, bersamaan 19.89% pada paras kritikal pengairan tahap 2.

“Susulan itu, operasi bekalan air bagi tujuan pengairan sawah di Rancangan Pengairan Kerian dilaksanakan secara catuan, manakala bekalan air domestik kepada pengguna awam kekal seperti permintaan sedia ada.

“Rekod pemantauan menunjukkan paras air Empangan Bukit Merah mula merosot sejak 25 Dis lalu, iaitu pada aras berjaga-jaga pengairan (7.62m) dan seterusnya mencecah paras kritikal 7.01m pada 12 Jan lalu.”

Berdasarkan prosedur operasi standard pengaktifan bencana kemarau dan musim kering Perak, katanya, pengaktifan operasi dipertimbangkan apabila storan empangan dan kadar alir sungai melepasi aras waspada selama tiga minggu berturut-turut.

“Bagi mengurangkan kesan kemarau, langkah kawalan dalaman telah dan sedang dilaksanakan, termasuk catuan bekalan pengairan mengikut kompatmen serta penggunaan pam bergerak di beberapa lokasi terjejas dengan kerjasama JPS dan IADA Kerian.

“Langkah ini bertujuan membantu komuniti petani dan mengurangkan impak cuaca panas serta kering yang sedang melanda.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.