Keputusan kurang insentif gula akan diumum dalam masa terdekat

Keputusan kurang insentif gula akan diumum dalam masa terdekat

Pemberian insentif gula bersifat sementara itu sedang dikaji semula oleh KPDN dan Kementerian Kewangan.

sugar gula envato
Harga runcit gula putih di Malaysia ketika ini adalah RM2.85 sekilogram, antara terendah di Asean malah peringkat global. (Gambar Envanto Elements)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengumumkan keputusan berhubung pengurangan insentif gula bagi pengilang tempatan dalam masa terdekat.

Menteri Armizan Mohd Ali berkata, pemberian insentif gula yang bersifat sementara itu kini sedang dikaji semula KPDN dan Kementerian Kewangan.

“Ini selaras hasrat kerajaan untuk memuktamadkan hala tuju baru struktur harga gula putih bertapis..

“Perlu dilaksanakan secara berperingkat. Tak mahu (laksanakan) sekaligus selepas penyasaran subsidi diesel dan petrol kerana akhirnya beri kesan kepada harga barang dan makanan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang mencadangkan subsidi gula dihapuskan semasa sesi perbahasan titah diraja.

Pada 21 Jan lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi menyemak semula pemberian insentif gula yang kini menelan belanja RM42 juta sebulan.

Katanya, beberapa cadangan dikemukakan berhubung perkara itu namun kerajaan belum memuktamadkan sebarang keputusan.

Kerajaan memberikan insentif kewangan kepada pengilang gula tempatan sejak November 2023, bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan disalurkan secara berterusan.

Langkah itu diambil sementara mekanisme terbaik berhubung harga dan pengeluaran gula dimuktamadkan.

Harga runcit gula putih di Malaysia ketika ini adalah RM2.85 sekilogram, antara terendah di Asean malah peringkat global.

Mengulas lanjut, Armizan berkata dari segi pelaksanaan, pemberian insentif gula adalah bersasar dan terhad kepada gula putih bertapis pek 1kg dan 2kg.

Katanya, insentif itu tidak terpakai bagi gula yang digunakan oleh industri makanan dan minuman (F&B) berskala besar.

“Fokus utama kerajaan adalah untuk mengekang kenaikan harga makanan dan kelangsungan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam perniagaan makanan dan minuman.

“Daripada jumlah pengeluaran gula negara sebanyak 1.3 juta metrik tan setahun, kira-kira 700,000 metrik tan yang digunakan oleh industri F&B tidak menerima sebarang insentif.

“Ini membuktikan kerajaan tidak menyokong penggunaan gula secara pukal oleh industri, sebaliknya hanya mengimbangi harga bagi kegunaan asas rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.