
Dalam kenyataan, Miros memaklumkan antara punca utama dikenal pasti ialah kegagalan pemandu melihat atau menyedari kehadiran kenderaan dan objek di hadapan atau di sebelah mereka, cuai ketika keluar atau masuk simpang serta jalan susur.
“Ia termasuk memotong atau menukar lorong secara berbahaya, leka, berangan, letih atau mengantuk. Corak ini menunjukkan bahawa kebanyakan kemalangan sebenarnya boleh dicegah melalui perubahan tingkah laku dan disiplin pemanduan yang lebih baik,” menurut kenyataan.
Miros berkata, statistik kemalangan oleh polis menunjukkan secara purata 13 penunggang motosikal maut setiap hari di Malaysia dan corak kemalangan merentas tahun juga menunjukkan mereka terus menjadi kumpulan paling terdedah kepada risiko maut di jalan raya.
“Lebih membimbangkan empat daripada 10 penunggang motosikal melebihi had laju, 26% hingga 50% melanggar lampu isyarat merah dan 54% tidak berhenti langsung sebelum melintasi persimpangan,” menurut kenyataan.
Justeru, Miros menyeru seluruh rakyat menjadikan keselamatan sebagai keutamaan utama ketika memandu atau menunggang motosikal, terutama sempena cuti musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan di jalan raya dan menyebabkan kesesakan di lebuh raya serta jalan utama negara.
Miros turut menggesa pengguna mematuhi had laju dan lampu isyarat, merancang perjalanan dengan rehat mencukupi, menggunakan peralatan keselamatan seperti topi keledar dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.