Sekolah swasta, antarabangsa kurang guru ajar BM, sejarah

Sekolah swasta, antarabangsa kurang guru ajar BM, sejarah

Aktivis sekolah swasta dan pendidikan seru pelaksanaan berfasa, latihan guru berterusan, dan garis panduan jelas demi penyampaian berkesan.

sekolah rendah tahun satu
Diumumkan pada bulan lalu bahawa semua sekolah, termasuk institusi agama, antarabangsa, dan swasta, diwajibkan menawarkan subjek bahasa Melayu dan sejarah bagi menyelaraskannya dengan kurikulum kebangsaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kekurangan guru berkelayakan bahasa Melayu (BM) dan sejarah mungkin akan membantutkan pelaksanaan rancangan kerajaan meluaskan dua subjek itu ke sekolah swasta dan antarabangsa, menurut kumpulan pendidikan.

Kumpulan mewakili sekolah swasta dan aktivis pendidikan memberi amaran walaupun objektif berkenaan mungkin disokong secara meluas, sektor tersebut berdepan kekangan kapasiti yang nyata.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta, Teh Choon Jin, berkata kekurangan guru BM dan sejarah di sekolah swasta serta antarabangsa sebenarnya agak ketara.

“Beberapa sekolah swasta yang sememangnya telah menyelaraskan sebahagian kurikulum mereka dengan kurikulum kebangsaan berada pada kedudukan lebih baik. Namun, kebanyakan sekolah antarabangsa direka berasaskan kurikulum asing, dengan model pengambilan kakitangan yang dibina bersesuaian dengan kurikulum mereka,” katanya kepada FMT.

“Rantaian bekalan guru yang dilatih khusus mengajar BM dan Sejarah, terutamanya dalam persekitaran aliran Inggeris bertaraf antarabangsa adalah terhad. Kita tidak seharusnya keliru antara kesediaan melaksanakan dengan kemampuan untuk melaksanakannya.”

Teh juga berkata, mengajar subjek sejarah khususnya memerlukan kepakaran dalam subjek itu serta keupayaan mengendalikan isu sensitif.

“Mengajar sejarah secara berkesan memerlukan penguasaan subjek dan keupayaan mengemudi naratif sejarah yang sensitif dengan penuh pertimbangan.

“Justeru, kursus jangka pendek tidak akan mampu mengubah seorang guru menjadi seorang pendidik sivik menyakinkan,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, turut menekankan isu mengenai sekolah antarabangsa dan swasta yang mempunyai kurikulum antarabangsa sendiri.

Beliau berkata, usaha merapatkan jurang berkenaan memerlukan latihan semula dan pengambilan kakitangan baharu, namun sumber sedia ada tetap terhad.

“Merapatkan jurang ini memerlukan latihan semula kakitangan sedia ada dan pengambilan pakar baharu. Perkara itu mungkin sukar dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana memandangkan rantaian bakat yang terhad,” kata Azimah.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, mengesyorkan pelaksanaan dilakukan secara berfasa bagi memudahkan penyampaian mandat baharu terbabit kepada semua institusi.

“Kekangan guru dan persaingan dengan sekolah kebangsaan menjadikan perkara ini mencabar dalam jangka masa pendek. Pendekatan secara berfasa adalah lebih realistik,” katanya.

Mak juga menyeru supaya garis panduan jelas dan sokongan berstruktur disediakan bagi membantu pelaksanaan dasar berkenaan.

“Garis panduan kurikulum yang jelas, laluan latihan berstruktur, dan sedikit sokongan dana peralihan adalah sangat penting. Tanpa semua ini, sekolah mungkin bergelut memberikan pengajaran berkualiti dan hasilnya mungkin dibimbangi mengundang malapetaka,” katanya.

Ketiga-tiga pakar itu juga bersetuju bahawa tanpa campur tangan sewajarnya daripada kerajaan bagi memastikan pelaksanaan yang bertepatan, ada risiko tinggi dasar tersebut hanya akan menjadi sekadar latihan pematuhan, bukannya usaha pembinaan negara yang bermakna.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan semua sekolah, termasuk institusi agama, antarabangsa, dan swasta, diwajib menawarkan BM dan sejarah, selaras dengan kurikulum kebangsaan bagi semua pelajar warganegara Malaysia.

Beliau menambah, arahan itu terpakai kepada semua sekolah, termasuk sekolah persendirian aliran Cina yang menawarkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.