57,910 murid dikenal pasti pembawa talasemia, Kedah tertinggi

57,910 murid dikenal pasti pembawa talasemia, Kedah tertinggi

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata prevalens pembawa talasemia kini pada kadar 59.1 bagi setiap 1,000 murid yang disaring di seluruh negara.

Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata kos sepanjang hayat bagi setiap pesakit talasemia yang bergantung pemindahan darah bermula usia kanak-kanak hingga 40 tahun hampir RM3 juta bagi setiap pesakit.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan 57,910 daripada 2.12 juta murid menjalani saringan talasemia di seluruh negara dikenal pasti sebagai pembawa penyakit genetik itu.

Menteri Dzulkefly Ahmad, berkata angka berkenaan meletakkan prevalens pembawa talasemia pada kadar 59.1 bagi setiap 1,000 murid yang disaring.

“Prevalens (jumlah bilangan individu berpenyakit pada sesuatu masa dan kawasan) pembawa talasemia tertinggi direkodkan dalam kalangan masyarakat Melayu, diikuti Kadazan-Dusun dan Cina.

“Negeri yang mempunyai kadar pembawa talasemia tertinggi (per 1,000 murid disaring) ialah Kedah (103), Pahang (90.7), Terengganu (82.1) dan Kelantan (75),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung status pencapaian program saringan talasemia termasuk dalam kalangan pelajar berusia 16 tahun, saringan praperkahwinan, dan pranatal, serta tahap kesedaran rakyat mengenai penyakit itu.

Dzulkefly berkata, talasemia adalah penyakit genetik yang berlaku akibat gangguan penghasilan hemoglobin dalam sel darah merah yang menyebabkan anemia dengan tahap keterukan berbeza.

Beliau berkata, seramai 9,554 pesakit talasemia direkodkan di negara ini berdasarkan data rasmi Laporan Tahunan Daftar Talasemia Malaysia 2023, yang diperoleh daripada 102 hospital KKM dan dua hospital universiti.

“Anggaran kos sepanjang hayat bagi setiap pesakit talasemia yang bergantung kepada pemindahan darah bermula dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun sebanyak USD606,665 (hampir RM3 juta) bagi setiap pesakit.

“Jumlah itu merangkumi kos penjagaan kesihatan iaitu 92.5% dan biaya perbelanjaan penjagaan kesihatan ditanggung pesakit dan keluarga pula sebanyak 7.5%,” katanya.

Dzulkefly berkata, usaha saringan awal dan peningkatan kesedaran awam penting bagi mengurangkan kelahiran pesakit talasemia major pada masa depan serta beban kewangan jangka panjang kepada sistem kesihatan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.