
Laporan itu menyatakan kutipan yuran pelajar oleh Koperasi B-5-1788, berjumlah RM50.74 juta dikutip tanpa kuasa.
Laporan berkenaan juga mendapati hasil yuran berjumlah RM32.36 juta tidak direkod sebagai hasil UKM daripada keseluruhan hasil yuran pelajar berjumlah RM60.77 juta.
Selain itu, laporan tersebut mendedahkan satu perjanjian kerjasama dimeterai pihak universiti itu tidak mendapat kelulusan menteri kewangan.
Dalam pada itu, audit juga mendapati RM6.69 juta perbelanjaan tidak teratur melibatkan bayaran komisen kepad ejen tidak layak sebanyak RM5.94 juta, selain RM107,907 belanja ke luar negara kepada enam individu bukan kakitangan UKM.
Sebanyak RM35,000 dikesan diberikan sebagai elaun pelajar sangkutan industri kepada pelajar tidak layak, dengan RM200,000 bayaran pendahuluan bagi penyelarasan program khas tanpa kelulusan sah.
Laporan turut menyebut RM403,500 nilai perolehan tidak dibuat melalui Jawatankuasa Sebut Harga.
Justeru, LKAN menggesa pihak UKM menyemak dan memantau keseluruhan kutipan yuran pelajar oleh koperasi bagi memastikan semua yuran pelajar diserahkan mengikut ketetapan kontrak dan mengelakkan sebarang kelewatan. Tindakan juga hendaklah diambil bagi mengutip baki yuran pelajar yang belum diserahkan kepada institusi berkenaan.
Syor itu juga merangkumi kajian semula perjanjian kerjasama sedia ada dan apa-apa perjanjian akan datang berhubung dengan yuran pelajar.
Maklum balas UKM
Laporan tersebut merekodkan maklum balas UKM, yang mengakui perlembagaan universiti tidak mempunyai peruntukan membenarkan pelantikan Koperasi B-5-1788 untuk mengutip yuran pelajar bagi pihaknya.
“Siasatan sedang dijalankan terhadap pihak yang memberikan kuasa kepada Koperasi B-5-1788 untuk mengutip yuran pelajar bagi program SPEND dan DPLI,” kata UKM sambil menyatakan bahawa pihaknya telah mengambil alih sepenuhnya pengambilan pelajar dan kutipan yuran bagi program berkenaan untuk sesi 2025/2026.
Universiti itu menyatakan, Koperasi B-5-1788 akan terus menyelia DPLI Kohort 6 dan sebelumnya, serta SPEND Kohort 9 dan sebelumnya, sehingga Lembaga Pengarah membuat keputusan mengenai hala tuju masa depan perjanjian kerjasama itu.
UKM juga mengambil maklum syor untuk menamatkan kontrak dengan Koperasi B-5-1788, yang sepatutnya tamat pada 2027.
Berkait RM32.36 juta yang tidak diakaunkan sepenuhnya, UKM menyatakan ia telah membuat pelarasan hasil untuk mengiktiraf jumlah yang sepatutnya diterima: RM2.27 juta bagi SPEND dan RM30.09 juta bagi DPLI untuk 2024.
Universiti itu turut memaklumkan, setakat 14 Jan lalu, pihaknya telah mengutip daripada koperasi tersebut sebanyak RM76,010 bagi SPEND dan RM1.75 juta bagi DPLI, daripada baki RM5.32 juta yang belum dipulangkan pada 2024.
Konflik berkepentingan
UKM juga mengakui wujudnya konflik kepentingan dan menyatakan pihaknya telah melaksanakan usaha wajar terhadap Ahli Lembaga pengarah koperasi yang juga merupakan kakitangan UKM.
Universiti berkenaan menyatakan, tindakan juga telah diambil dengan melaksanakan pertukaran dalaman bagi pegawai yang terlibat pada November 2025. Pertukaran ini disusun ke jawatan yang berisiko rendah dan tidak berkaitan dengan operasi Koperasi B-5-1788.
Penggunaan tak sah kad kredit
Laporan itu mendapati kad kredit korporat UKMShape telah digunakan tanpa kebenaran daripada Jawatankuasa Kewangan universiti bagi berjumlah keseluruhan RM107,907, meliputi tiket penerbangan, hotel, dan perbelanjaan luar negara lain untuk enam individu yang tidak layak.
UKMShape merujuk kepada Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional universiti terbabit.
UKM menyatakan Unit Audit dalamannya telah menyerahkan laporan mengenai penggunaan kad kredit tanpa kebenaran itu kepada Pusat Integriti dan Ombudsman universiti untuk siasatan lanjut.