
Daripada 145 penyata kewangan yang dikemukakan, 128 diberi sijil ‘pendapat tanpa teguran’ manakala 15 lagi diberi sijil ‘pendapat diubahsuai’ berikutan isu termasuk baki tunai tidak disahkan, laporan aset tidak tepat dan pelarasan tanpa sokongan.
Antara agensi terlibat ialah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Suhakam tidak dapat mengesahkan baki tunai dan bank berjumlah RM0.75 juta setakat 31 Dis 2024.
MyIPO didapati perbelanjaan susut nilainya terkurang nyata berjumlah RM1.32 juta dan peruntukan faedah pekerja dan perbelanjaan bantuan khas kewangan masing-masing terkurang nyata berjumlah RM7.99 juta.
Manakala, peruntukan rosot nilai tidak dibuat bagi deposit sewa berjumlah RM2.61 juta yang belum diterima walaupun tempoh sewaan telah tamat pada 31 Mac 2023
Bernama pula terlebih nyata jumlah hutang daripada syarikat subsidiari berjumlah RM5.75 juta, manakala sumbangan tidak direkodkan dalam penyata kewangan menyebabkan tunai dan kesetaraan tunai serta geran tertunda terkurang nyata berjumlah RM4.28 juta pada akhir tahun 2024.
UKM terkurang nyata pendapatan transaksi pertukaran yuran pelajar berjumlah RM19.88 juta dan pelaburan dalam entiti dikawal terlebih nyata RM0.45 juta serta perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan berjumlah RM0.69 juta serta emolumen pekerja berjumlah RM46,568 tidak teratur.
Hartanah loji dan peralatan terlebih nyata sejumlah RM0.12 juta dan aset sumbangan bagi item kemudahan dan pembaikan terkurang nyata sejumlah RM0.44 juta.
Terdahulu, Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Radzi berkata sistem Papan Pemuka Ketua Audit Negara telah memudah cara pemulihan dan bayaran balik kepada kerajaan berjumlah RM316.68 juta dari 2024 hingga Dis 2025.
Laporan setebal 15 jilid itu dibentangkan di Dewan Rakyat dan merangkumi penyata kewangan agensi persekutuan bagi 2024 serta aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun persekutuan, selain kementerian, jabatan, agensi negeri dan syarikat milik kerajaan negeri.