5,133 kes curi elektrik sejak 2021, kerugian cecah RM41 juta

5,133 kes curi elektrik sejak 2021, kerugian cecah RM41 juta

Pemasangan 5.56 juta meter pintar antara langkah pencegahan dilaksana termasuk banteras perlombongan bitcoin dan mata wang kripto.

Curi TNB-Bitcoin
Timbalan Perdana Menteri berkata kecurian elektrik bukan sahaja merugikan negara malah memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan sistem bekalan tenaga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mengesan sebanyak 5,133 kes kecurian elektrik bagi tempoh 2021 hingga tahun ini, membabitkan anggaran kerugian RM41 juta.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Fadillah Yusof, berkata kegiatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja merugikan negara, malah memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan sistem bekalan tenaga.

“Antara langkah dilaksanakan bagi mengawal kecurian elektrik termasuk pemasangan 5.56 juta meter pintar di seluruh Semenanjung Malaysia sehingga 2025,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Chean Chung (PH–Petaling Jaya) yang ingin mengetahui jumlah kes dikesan melalui sistem Distribution Transformer Meter (DTM) dan meter pintar serta anggaran kerugian dialami Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan TNB komited membanteras kegiatan itu, termasuk yang melibatkan perlombongan bitcoin atau mata wang kripto.

“Aktiviti berkenaan bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna, malah menjejaskan kestabilan ekonomi serta sistem bekalan tenaga negara,” katanya.

Fadillah berkata kementerian turut memanfaatkan teknologi seperti dron dan peranti thermal handheld bagi meningkatkan keberkesanan pengesanan.

“Pendekatan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan serta program kesedaran awam dan libat urus strategik dilaksanakan bagi meminimumkan kerugian industri elektrik dan memastikan keselamatan sistem tenaga terus terpelihara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.