Mahkamah tolak permohonan Petros cabar jaminan bank RM7.95 juta Petronas

Mahkamah tolak permohonan Petros cabar jaminan bank RM7.95 juta Petronas

Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan tuntutan itu adalah selaras dengan terma jaminan bank yang bersifat ‘on-demand’ dan tanpa syarat.

Petronas
Sebelum ini timbul pertikaian apabila Petronas membuat tuntutan terhadap jaminan bank susulan kegagalan Petros menjelaskan bayaran bagi bekalan gas pada Ogos 2024.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak permohonan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) untuk mencabar tuntutan jaminan bank oleh Petronas berjumlah RM7.95 juta.

Hakim Faridz Gohim Abdullah memutuskan tuntutan itu adalah selaras dengan terma jaminan bank yang bersifat ‘on-demand’ dan tanpa syarat.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah menegaskan isu yang perlu diputuskan hanya terhad kepada persoalan sama ada tuntutan terhadap jaminan bank itu tidak sah atau menyalahi undang-undang seperti dinyatakan dalam Notis Usul (OS) difailkan Petros.

Beliau berkata mahkamah berpendapat Petros tidak memohon sebarang deklarasi untuk mencabar kesahan Perjanjian Jual Beli Gas (SGSA) atau memohon pengisytiharan bahawa Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) terpakai ke atas Petronas sehingga memerlukan lesen negeri.

“Mahkamah tidak boleh memutuskan isu yang tidak dipohon secara jelas dalam relif,” katanya, menurut Buletin TV3.

Beliau turut memutuskan, jaminan bank terbabit adalah tanpa syarat dan boleh dituntut atas permintaan bertulis, tanpa perlu membuktikan pelanggaran kontrak terlebih dahulu.

“Mahkamah juga mengambil kira bahawa wang jaminan bank itu telah pun diterima dan digunakan oleh Petronas, sekali gus menjadikan permohonan injunksi untuk menghalang tuntutan tersebut sebagai akademik,” katanya.

Sebelum ini timbul pertikaian apabila Petronas membuat tuntutan terhadap jaminan bank susulan kegagalan Petros menjelaskan bayaran bagi bekalan gas pada Ogos 2024.

Dalam hujahnya, Petros berkata Petronas tidak mempunyai lesen sah di bawah DGO 2016 untuk membekalkan gas di Sarawak.

Petronas pula menegaskan ia beroperasi di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974), undang-undang Persekutuan yang menurutnya mengatasi undang-undang negeri sekiranya berlaku percanggahan.

Namun, mahkamah memutuskan bahawa isu pertindihan antara undang-undang Persekutuan dan negeri, termasuk persoalan kesahan perundangan, berada dalam bidang kuasa asal eksklusif Mahkamah Persekutuan dan tidak boleh diputuskan dalam prosiding ini.

Berikutan itu, mahkamah mendapati tiada unsur ketidakadilan atau salah laku dalam tuntutan jaminan bank berkenaan dan menolak permohonan Petros dengan kos.

Petros diwakili peguam Cecil Abraham, Sim Hui Chuang, Lim Lip Tze dan Rosalie Tien manakala peguam Cyrus Das, Khoo Guan Huat serta Alex Ngu Sze Sha pula mewakili Petronas.

Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak Fong Joo Chung bertindak sebagai pemerhati bagi kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.