Pekerja asing maut terkena serpihan cermin pecah

Pekerja asing maut terkena serpihan cermin pecah

Mangsa alami pendarahan teruk selepas terkena serpihan cermin tingkap di lengan ketika kerja pembuangan.

lazim ismail
Ketua Polis Wangsa Maju Lazim Ismail berkata, pihaknya terima laporan berhubung kejadian pada 4.44 petang tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja warga asing maut selepas terkena serpihan cermin tingkap dalam kejadian di sebuah bangunan pejabat di Jalan Genting Kelang petang tadi.

Ketua Polis Wangsa Maju Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 4.44 petang.

“Siasatan awal mendapati si mati sedang menjalankan kerja-kerja membuang cermin tingkap sebuah pejabat ke dalam tong sampah di bawah bangunan tersebut.

“Bagaimanapun cermin tersebut dilaporkan pecah dan serpihannya terkena pada bahagian lengan mengakibatkan pendarahan yang banyak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.