
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang itu membuat laporan di IPD Timur Laut, mendakwa hantaran Zamri di Facebook berunsur provokasi dan boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
“Saya menyeru semua rakyat yang mencintai negara ini dan menghargai serta menilai keamanan dan kesejahteraan rakyat negara kita yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan bangsa untuk terus membuat laporan polis terhadap Zamri demi mempertahankan keamanan di negara kita yang tercinta ini,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Zamri menyatakan sokongan kepada satu himpunan mengenai kuil kecil itu, dijadualkan berlangsung pada Sabtu.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim meminta penganjur membatalkan perhimpunan itu, mengatakan ia “mengapi-apikan kebencian yang boleh memusnahkan negara”.
Sementara itu, Rayer menyeru polis, menteri dalam negeri, Jemaah Menteri, dan perdana menteri supaya bertindak segera sebelum individu seperti Zamri mencetuskan “satu lagi peristiwa” yang boleh mengundang ketegangan kaum dan menyebabkan huru-hara.
“Sekiranya tindakan tegas dan segera menangkap, menahan dan menuduh Zamri ini tidak diambil selepas berulangkali melakukan provokasi agama dan kaum maka akan timbul persepsi dan anggapan bahawa Zamri ini kebal dan mendapat layanan istimewa dan adalah ‘above the law’,” katanya.
Sebelum ini, Zamri ditahan pada 7 Feb susulan suatu himpunan yang dirancang di ibu negara mengenai rumah ibadat tidak sah pada hari sama.
Sementara itu, Pemuda PKR Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya perhimpunan itu, menegaskan politik adu domba tidak boleh diberi ruang di negeri itu.
Ketuanya, Zakwan Mustafa Kamal, menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh rancangan itu.
“Jangan sekali-kali memperjudikan keamanan negeri ini demi kepentingan politik sempit. Rakyat Pulau Pinang menolak ekstremisme, menolak provokasi dan menolak politik yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya.