Bekas pembantu Rafizi bidas SPRM keluar notis pencarian awam

Bekas pembantu Rafizi bidas SPRM keluar notis pencarian awam

Chai Jin Shern, atau James Chai, berkata notis itu dedahkan keluarganya kepada bahaya, gambarkan dirinya sebagai 'pelarian' sembunyi sesuatu.

chai jin shern james chai
SPRM sebelum ini mengumumkan usaha mengesan James Chai untuk membantu siasatan. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai kepada bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli membidas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis untuk mengesannya, menyifatkan tindakan itu sebagai ‘keterlaluan dan berpotensi memfitnah’.

Chai Jin Shern, juga dikenali sebagai James Chai, berkata notis itu menyertakan alamat rumah keluarga yang didiami ibu bapanya, mendedahkan mereka kepada bahaya yang tidak sepatutnya. Perkara ini ‘tidak akan dimaafkannya sama sekali’, tegasnya.

“Mereka boleh sahaja bertanya kepada rakan-rakan atau bekas rakan sekerja saya dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Mereka juga boleh menghantar e-mel atau mesej kepada saya di media sosial, atau mencari saya di LinkedIn untuk mengetahui perkembangan terkini saya.”

Chai yang kini bekerja di United Kingdom berkata, usaha pencarian awam itu seolah-olah berniat menggambarkan dirinya sebagai pelarian yang menyembunyikan sesuatu.

“Ini keterlaluan dan berpotensi memfitnah. Saya anggap (tindakan ini) memang disengajakan,” katanya.

Chai merupakan pegawai tugas-tugas khas Rafizi ketika Ahli Parlimen Pandan itu menjadi menteri ekonomi. Beliau meninggalkan kementerian tersebut selepas Rafizi meletak jawatan menteri Mei lepas.

Notis SPRM tidak menyatakan sebab Chai dipanggil, tetapi ia menyusuli siasatan baru-baru ini berhubung dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings yang ditandatangani pada Mac tahun lepas.

Dalam kenyataannya, Chai memperincikan garis masa penglibatannya, bermula dengan penyelarasan sidang teknologi KL20 pada April 2024, disusuli peranan beliau dalam kerjasama dengan Arm Holdings dari Mei 2024 hingga Mac 2025, sebelum meletak jawatan bersama-sama Rafizi.

Beliau menegaskan, beliau tidak mempengaruhi perjanjian dengan Arm Holdings itu, malah membantu syarikat itu secara sukarela selama dua bulan selepas meninggalkan kementerian untuk memastikan peralihan yang lancar.

“Saya berasa sedikit jengkel, agak sedih, dan sangat marah,” katanya.

“Jengkel kerana saya terpaksa lalui proses yang tidak perlu ini, sedih kerana jentera kerajaan yang besar telah diperalatkan untuk memburu individu seperti saya yang bukan siapa-siapa, dan marah kerana mereka sasarkan apa yang saya wakili,” katanya.

Susulan notis pencarian itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memaklumkan, kenyataan daripada 12 saksi, termasuk seorang bekas menteri, telah dirakam. Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada individu tersebut ialah Rafizi.

Rafizi sebelum ini menuduh SPRM menjalankan siasatan bermotifkan politik terhadapnya.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, tuduhan terhadapnya berkisar sekitar dua dasar utama kerajaan, iaitu Program Visi Silikon dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menurutnya telah melalui pelbagai peringkat kelulusan kerajaan, termasuk pengesahan Jemaah Menteri.

Program Visi Silikon membabitkan kerjasama antara kerajaan dengan Arm Holdings bagi menghasilkan cip semikonduktor pertama negara, sementara NETR menggariskan sasaran peralihan tenaga negara sehingga 2050, yang melibatkan pelaburan besar dalam industri hijau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.