
Steven Sim, yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi, menggesa polis bertindak segera dan tegas terhadap semua pelaku.
“Mereka harus dikenakan tindakan undang-undang yang paling keras sekali, tak kira yang pijak al-Quran, yang pijak simbol agama Hindu, yang buat provokasi roboh kuil, yang buat vandalisme, yang bakar kenderaan.
“Musuh kita bukan sesama sendiri, tak kira kaum dan agama,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata semua pihak bertanggungjawab menurunkan suhu perkauman, dan tidak menyebarkan kebencian.
“Saya akan bangkitkan isu ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok,” katanya.
Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata kementerian memandang serius tiga kejadian yang mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat, iaitu kejadian kenderaan milik aktivis dibakar pihak tidak bertanggungjawab, video memaparkan seorang individu memijak serta merosakkan simbul suci Hindu, dan serangan terhadap penceramah bebas, Zamri Vinoth.
Beliau menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat selaras undang-undang.
Beliau juga menyeru rakyat tidak bertindak secara beremosi atau menyebarkan spekulasi, khususnya di media sosial ketika berdepan isu sensitif melibatkan kaum dan agama.