
Syarikat itu menyifatkan garis panduan sedia ada sebagai langkah penting dalam membina ekosistem industri yang lebih kukuh, sekali gus menjamin limpahan ekonomi yang signifikan kepada semua pihak berkepentingan.
Menurutnya, ia termasuk peluang pekerjaan jangka panjang, pelaburan dalam prasarana, pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkongsian teknologi serta pembangunan usahawan tempatan termasuk pembekal dan pengedar.
“Visi Next Generation Vehicle (NxGV) dalam NAP dijangka membolehkan rakyat menikmati nilai dan inovasi mobiliti lebih baik, termasuk perkhidmatan industri lebih luas, keselamatan dipertingkat serta integrasi mudah alih berasaskan teknologi internet.
“Polisi, visi dan pelan hala tuju sedia ada digariskan Miti berfungsi sebagai panduan komprehensif, telus dan konsisten untuk pemain industri automotif,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat itu turut memuji Miti di atas visinya menjadikan industri automotif Malaysia progresif dengan menyeimbangkan kemajuan dan keterbukaan untuk manfaat semua pihak.
Semalam, Miti menjelaskan isu berhubung kemungkinan BYD menilai semula rancangan untuk membuka kilang pemasangan tempatan bagi operasi sepenuhnya (CKD) di Tanjung Malim, Perak.
Menteri Johari Ghani menegaskan dasar EV kementeriannya dikenakan secara sama rata, dan syarat yang dikenakan ke atas BYD tidak unik kepada pengeluar kereta China itu.
Johari menambah kerajaan kekal terbuka terhadap pelaburan automotif dari China, sambil menekankan bahawa 14 daripada 34 pengeluar kereta asing di pasaran Malaysia adalah dari China.