
Berdasarkan dokumen mahkamah difailkan di Mahkamah Tinggi oleh peguam Amer Hamzah Arshad, Bloomberg berhujah pernyataan tuntutan plaintif bertarikh 12 Feb itu remeh atau menyusahkan, serta merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Syarikat itu menyatakan ia bukan penerbit, malah tidak menyebabkan penerbitan artikel dipersoalkan itu pada Januari 2026.
Ia juga menyatakan bahawa pihaknya tidak memuat naik atau menyebarkan artikel berkenaan, serta tidak mengendalikan atau mengawal laman web di mana artikel itu disiarkan.
Bloomberg menegaskan, laman web Bloomberg dalam notisnya menyatakan ia dikendalikan Bloomberg LP di New York, Amerika Syarikat, dan bukannya oleh entiti di Malaysia.
Dalam saman berkenaan, plaintif menamakan 10 defendan: Bloomberg LP, Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, The Edge Communications Sdn Bhd, Mnow Media Sdn Bhd, Mkini Dotcom Sdn Bhd, Norhafizan Muhamad, Nur Azwan Nusi, Latheefa Koya, Rafizi Ramli, dan Iswardy Morni.
Semasa pengurusan kes, Hakim Roslan Mat Nor menetapkan 26 Jun mendengar permohonan pembatalan saman tersebut.
Bestinet dan Aminul Islam diwakili peguam N Ravindran.
Melanie Lim hadir bagi pihak The Edge, Nurul Najwa Zainuddin untuk Mnow Media, Soo Siew Mei untuk Mkini Dotcom, Azhar Arman Ali dan Nik Zarith Nik Moustapha untuk Rafizi, Sufyan Wafiq untuk Iswardy, dan N Surendran untuk Latheefa.
Peguam bagi Norhafizan dan Azwan tidak hadir hari ini. Mahkamah meminta Ravindran memaklumkan kepadanya sama ada beliau berjaya menyerahkan writ saman kepada Bloomberg LP.