Melayu punca perpecahan sendiri, kata Dr M

Melayu punca perpecahan sendiri, kata Dr M

Bekas perdana menteri berkata tiada satu parti Melayu mampu dominan kerana terlalu banyak parti telah memecah-belahkan masyarakat.

Dr Mahathir Mohamad
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah beberapa kali berusaha menyatukan orang Melayu sepanjang tahun.
PETALING JAYA:
Orang Melayu sendiri menjadi punca kepada perpecahan dan kelemahan yang dihadapi ketika ini, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bekas presiden Umno itu berkata tiada satu parti Melayu mampu mendominasi kerana terlalu banyak parti telah muncul, sekali gus memecahkan masyarakat dan menyebabkan mereka saling bersaing.

Akibatnya, orang Melayu menjadi ‘pihak yang rugi’, sekali gus meletakkan negara dalam keadaan berisiko apabila Tanah Melayu berpotensi menjadi milik pihak lain, katanya.

“Siapa yang perlu dipersalahkan? Kesalahan itu terletak pada orang Melayu sendiri.

“Ini adalah perjuangan terakhir mereka,” katanya di Facebook.

Mahathir berkata suatu ketika dahulu orang Melayu bersatu di bawah satu parti iaitu Umno dan melalui kesatuan itu mereka berjaya membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British.

“(Namun) yang penting bukanlah Umno itu sendiri, tetapi perpaduan yang diwujudkan,” katanya.

Jumaat lalu, Mahathir turut berkata kedudukan sebagai presiden parti atau calon perdana menteri tidak sepenting keupayaan untuk menyatukan orang Melayu.

Sepanjang kerjayanya, Mahathir — yang pernah menerajui Umno, Bersatu dan Pejuang — telah beberapa kali cuba menyatukan orang Melayu.

Beliau menubuhkan gabungan Gerakan Tanah Air pada Ogos 2022 yang menghimpunkan parti Melayu, NGO, ahli akademik dan golongan profesional, serta bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun sama.

Namun semua calon tewas dan hilang deposit, termasuk beliau sendiri.

Beliau juga melancarkan satu lagi gabungan perpaduan Melayu pada Jun tahun lalu, namun hala tuju gabungan itu masih tidak jelas susulan perbezaan pendapat melibatkan tokoh utama seperti Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.