Beras di Sabah cukup, pengguna dinasihat jangan panik

Beras di Sabah cukup, pengguna dinasihat jangan panik

Bernas beri jaminan bekalan beras mencukupi untuk menampung keperluan semasa, dan kerajaan negeri pertingkatkan pemantauan di seluruh rantaian pengedaran.

beras
Timbalan Menteri Chan Foong Hin kata pembelian panik didorong oleh penularan maklumat tidak sahih. (Gambar fail)
KOTA KINABALU:
Pengguna dinasihatkan supaya tidak panik dan berbelanja secara berhemat kerana bekalan beras di Sabah ketika ini masih mencukupi bagi menampung keperluan rakyat dan berada dalam keadaan terkawal.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata pembelian panik yang berlaku didorong oleh penularan maklumat tidak sahih yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan menyebarkan khabar angin sedemikian bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi mengganggu kestabilan pasaran,” menurut kenyataan.

Chan mengadakan pertemuan bersama Ketua Operasi Pejabat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) Sabah, Hervian Kirman, dan Timbalan Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Sabah, Rosman Shamsul, bagi mendapatkan gambaran semasa situasi bekalan bahan makanan asas di Sabah.

Bernas beri jaminan bekalan beras di Sabah mencukupi untuk menampung keperluan semasa, dan kerajaan negeri mempertingkatkan pemantauan di seluruh rantaian pengedaran bagi memastikan keterjaminan makanan terpelihara.

“Orang ramai turut diseru supaya kekal tenang, berbelanja secara berhemat serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian secara berlebihan atau ‘hoarding’ kerana tindakan itu boleh menjejaskan kestabilan pasaran serta mengganggu akses pengguna lain terhadap bekalan beras,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.