PKR tak lindung individu salah guna kuasa, kata Fahmi

PKR tak lindung individu salah guna kuasa, kata Fahmi

Ketua Penerangan Fahmi Fadzil menyampaikan amaran keras Presiden Anwar Ibrahim berhubung salah guna kuasa.

Fahmi Fadzil
Ketua Penerangan Fahmi Fadzil kata tiada individu akan dilindungi sekiranya terlibat salah guna kuasa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
PKR tidak akan sesekali melindungi mana-mana pemimpin dan ahli yang didapati menyalahgunakan kuasa, kata Ketua Penerangan Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Presiden Anwar Ibrahim beri amaran keras bahawa tiada sesiapa termasuk menteri akan dilindungi sekiranya terlibat dalam salah guna kuasa.

“Jangan pernah ambil kesempatan salah guna kuasa, jangan ambil kesempatan atau sempat ambil apa-apa… jangan sampai imej parti tercalar dengan pergi ke mana-mana kononnya mahu ‘tengok lesen’… bila diberi amanah, jangan dinodai.

“Ini peringatan kepada kita… kita dahulu berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa… jangan pula sekarang kita membenarkan perkara yang sama berlaku dalam kalangan kita,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada perasmian mesyuarat agung tahunan cabang PKR bagi Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak, Cheras.

Pada masa sama, Fahmi mengingatkan pemimpin supaya tidak terlalu selesa dengan jawatan.

Beliau berkata perubahan gaya hidup secara mendadak tanpa penjelasan munasabah boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Fahmi turut menyeru semua pihak dalam PKR agar saling menegur secara berhemah melalui saluran yang betul.

“Kita boleh ada kepelbagaian pandangan dalam parti, dan parti tidak pernah menghalang anggota daripada menyampaikan suara serta pandangan.

“Tapi ketika negara berdepan dengan krisis tenaga global dan isu-isu ekonomi, kita perlu bersatu hati mengetepikan perbezaan pandangan dan bersama dengan kerajaan untuk memastikan kita dapat mengharungi dugaan serta cabaran besar ini dengan jayanya,” kata beliau.

Mengulas perkembangan lain, Fahmi berkata perbicaraan berhubung saman fitnah terhadap tiga individu yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah, iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah serta perintah Sultan Selangor akan bermula Isnin depan.

Beliau berkata kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya dimaklumkan bahawa saya akan menjadi saksi pertama,” katanya sambil menegaskan bahawa tindakan undang-undang itu diambil bagi membersihkan namanya.

Saman itu difailkan Fahmi secara berasingan pada 5 Sept 2023 terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, penceramah Ahmad Dusuki Abd Rani, dan pengguna Facebook Fauzan Madzlan berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.