
Rafizi berkata, isu yang dibangkitkan menyentuh kepentingan negara dan integriti institusi awam, seperti soal pakatan sulit membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini bukan soal parti. Ini soal negara … soal tuduhan berkaitan dengan integriti penguat kuasa dan agensi berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pandan Indah.
Menurut Rafizi, pendekatan mengkritik kerajaan secara terbuka bukan perkara baharu, malah telah diamalkannya sejak lebih 15 tahun lalu, termasuk ketika era pentadbiran Najib Razak, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, misalnya.
“Budaya menegur secara terbuka adalah sebahagian prinsip perjuangan PKR, dan tidak wajar berubah hanya kerana parti kini berada dalam kerajaan. Kalau ada isu, mereka perlu jawab, tak kisah daripada parti mana.
“Yang berbahaya jika PKR sekarang berubah apabila sudah jadi kerajaan. Dulu isu yang menyentuh kepentingan rakyat, apabila disuarakan dianggap budaya yang baik. Tapi apabila PKR dalam kerajaan, isu sama dibawa dan tak dijawab.
“Kalau setiap perkara boleh dijawab dengan berkesan, isu itu akan mati, itu akan menunjukkan kemampuan kerajaan menangani perkara berkaitan kepentingan rakyat,” katanya mengulas kenyataan Pengerusi PKR Johor Zaliha Mustafa yang mendakwa kenyataan dan kritikan terbuka dibuatnya berpotensi memberi kesan kepada keharmonian dalaman serta kekuatan parti.
Rafizi menambah, sebarang cubaan menyerang atau mematikan watak pemimpin yang membuat kritikan terbuka akan tambah membesarkan sesuatu isu dan memberi kesan buruk kepada kerajaan dan parti, apabila lebih ramai rakyat menyokong pemimpin terbabit.
Dalam pada itu, menjawab gesaan Setiausaha PKR Sarawak Mahmud Epah agar keluar parti kerana menjadi liabiliti terbesar kepada agenda reformasi, Rafizi berkata, tindakan sedemikian hanya akan membahayakan kedudukan PKR.
“Kalau saya keluar parti, lagilah kuat saya bersuara, lagilah bebas, lagilah berbahaya kepada PKR. Jadi masalah PKR ialah apabila cuba elak menjawab isu-isu sebenar itu,” katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan kerajaan melancarkan Madani Mart, Rafizi berkata, walaupun ia kelihatan baik, beliau bimbang akan wujud konflik kepentingan apabila tiga pemimpin PKR merupakan pemegang amanah dalam Yayasan Madani yang menjadi rakan kerjasama dalam usaha tersebut.
“Kalau ia berjaya dibuat secara telus, secara adil dan berniaga seperti mana peniaga-perniaga lain, tidak mengambil untung yang banyak sehingga berjaya menawarkan harga yang berpatutan, itu bagus, kita alu-alukan kerana persaingan itu diperlukan supaya harga itu rendah.
“Tapi ini kerjasama strategik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan melibatkan jualan Rahmah, jadi saya fahamlah risiko-risikonya kerana jualan Rahmah ini melibatkan peruntukan beratus-ratus juta setahun,” katanya.