Turunkan cukai, tarif antara cadangan bantu peniaga hadapi krisis tenaga

Turunkan cukai, tarif antara cadangan bantu peniaga hadapi krisis tenaga

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keutamaan kini pastikan bekalan barangan keperluan cukup dengan harga terkawal.

supermarket pasaraya
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang teliti untuk mengurangkan beban rakyat termasuk peniaga susulan krisis tenaga global kesan daripada konflik Asia Barat. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan sedang meneliti mekanisme termasuk memberi beberapa kelonggaran kepada golongan peniaga bagi membantu mereka menangani impak krisis tenaga global, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata keutamaan kini adalah memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi dengan kawalan terhadap harga bagi memastikan kepentingan rakyat terjamin.

“Itu keutamaan. Kemudian kita tengok sama ada kita boleh bagi sedikit kelonggaran kepada perniagaan, sama ada apa-apa cukai, apa-apa tarif, bayaran yang dikenakan itu dikurangkan supaya boleh membantu mengurangkan kos juga.

“Ada cadangkan tentang e-invois, apakah ia boleh ditangguh, itu semua kita sedang teliti untuk mengurangkan beban rakyat termasuk peniaga,” kata beliau kepada media selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Madani Rakyat 2026 Perak.

Perdana menteri berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi susulan krisis tenaga global ketika kini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Saarani Mohamad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Sebelum ini, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata pakej rangsangan ekonomi seperti yang pernah dilaksanakan sewaktu era pandemik COVID-19 mungkin diperkenalkan dalam usaha meringankan beban rakyat susulan krisis tenaga global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.