Rafizi anggap remeh ‘gelombang panas’ landa PKR

Rafizi anggap remeh ‘gelombang panas’ landa PKR

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, beliau selesa di rumah 'tonton siri misteri', belajar cara kenal 'penjahat sebenar'.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli terselamat dalam undi tak percaya di PKR Pandan dengan kelebihan lapan undi hari ini, manakala perdebatan hangat mengenai beliau dilaporkan tercetus pada konvensyen PKR Johor.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berseloroh mengenai keadaan yang semakin ‘panas’ dalam parti itu, mendakwa beliau tidak tahu-menahu tentang perkara yang berlaku kerana berada di rumah menonton siri misteri jenayah.

Menerusi hantaran di platform media sosial X petang tadi, Rafizi berkata, pada mulanya beliau menyangka bahang yang dirasai adalah akibat cuaca panas, namun rupa-rupanya politik PKR yang semakin hangat pada semua peringkat, sama ada di konvensyen mahupun mesyuarat tahunan.

Beliau berkata, menonton siri misteri pembunuhan mengajarnya cara mengenal pasti penjahat sebenar, yang biasanya tampil sebagai ‘orang baik’ pada peringkat awal.

Beliau tidak merujuk kepada mana-mana insiden secara khusus, namun awal hari ini, Rafizi terselamat daripada cubaan menyingkirkannya sebagai ketua cabang Pandan.

Turut dilaporkan perdebatan hangat yang tercetus di konvensyen PKR Johor berikutan pertembungan pandangan mengenai beliau.

Pada mesyuarat agung tahunan PKR Pandan, 42 ahli cabang mengundi menolak usul pemecatan atau penggantungan Rafizi sebagai ketua cabang, manakala 34 lagi menyokong.

Sumber memberitahu FMT, Ahli Parlimen Pandan dua penggal itu tidak menghadiri mesyuarat tersebut, manakala Timbalan Ketua Pemuda PKR Pandan Haqimi Zamri berkata, usul itu dibentangkan oleh ahli yang mahu merampas tampuk kepimpinan cabang daripada Rafizi.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR A Kumaresan menggesa Rafizi supaya meletak jawatan, menuduh bekas menteri itu cuba melemahkan parti dari dalam.

Sebagai respons, Rafizi mempersoalkan mengapa para pengkritiknya memberi beliau ‘peluru politik’ setiap minggu.

“Kalau tak ada peluru politik, saya buat ‘content’ (tentang) kucing-kucing saya sahaja,” katanya.

“Sekarang ini, kesian tak ada ‘content’ (kucing) sebab ‘queue’ content politik banyak sangat.”

Semalam, Rafizi memberi amaran bahawa gesaan agar beliau meninggalkan PKR hanya akan merisikokan parti.

Beliau lantang mengkritik kerajaan dan PKR secara terbuka sejak tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan parti lepas, sebelum meletak jawatan menteri ekonomi pada Mei tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.