
Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), berkata berdasarkan cerapan radar cuaca semalam, hujan mula berlaku pada 3.30 petang di Empangan Muda, Kedah, sebelum lebih meluas dan berterusan meliputi semua kawasan sasaran di Kedah dan Perlis, antara 6 petang hingga 8 malam.
Keadaan itu membawa taburan hujan sekitar 29.8mm hingga 34.7mm di Perlis dan antara 9.3mm hingga 30.9mm di Kedah, dalam tempoh 7 malam hingga 8 malam.
Beliau berkata, laporan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) turut merekodkan taburan hujan di beberapa lokasi utama iaitu 13.5mm di stesen Pedu, antara 6.0mm hingga 49.0mm di stesen Muda serta 2.0mm hingga 4.0mm di Ahning – semuanya di Kedah.
“Hari ini operasi hari kedua memberi tumpuan kepada kawasan Empangan Pedu (Kedah) dan Timah Tasoh (Perlis) yang mengalami kepanasan luar biasa bagi meningkatkan takungan air untuk kegunaan domestik, industri dan pertanian,” katanya menurut Bernama.
Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau penyelarasan OPA oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ke Kedah dan Perlis, di Pangkalan Udara Subang.
Beliau berkata, dengan jangkaan cuaca panas ekstrem berterusan sehingga akhir bulan ini sebelum beransur reda menjelang Jun, operasi itu akan diteruskan sehingga 10 April dengan pemantauan pergerakan angin dan awan bagi memastikan hujan turun berhampiran kawasan sasaran.
Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama tentera udara dan Nadma, di bawah penyelarasan Jawatankuasa Bencana Negara.
Selain di kawasan Utara, operasi sama dijangka diperluas ke Perak dan Johor yang turut berdepan cuaca kering serta kebakaran tanah gambut.
Bagi kedua-dua negeri itu, operasi akan tertumpu di Empangan Temenggor dan Bukit Merah (Perak) dan Empangan Lebam, Upper Layang, Lower Layang, Gunung Pulai, dan Machap (Johor).
Zahid berkata, untuk operasi kali ini, pasukan teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menggunakan 200kg garam (natrium klorida) yang dilarutkan dalam 1,500 liter air bagi satu tangki.
Empat tangki bancuhan air garam itu kemudian dimasukkan ke dalam pesawat C-130 Hercules, sebelum diterbangkan pada ketinggian antara 5,000 hingga 9,000 kaki untuk semburan ke dalam awan kumulus menara yang berkumpul di dalam kawasan yang disasarkan.
“Air garam ini membantu mempercepat pembentukan titisan air sehingga menjadi hujan. Kebiasaannya hujan akan turun antara 30 hingga 60 minit selepas pembenihan awan dilakukan,” katanya.