Victor Chin saman ‘mafia korporat’

Victor Chin saman ‘mafia korporat’

Berdasarkan nombor kes diberikan ahli perniagaan itu perkara tersebut dijadual untuk e-review di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Mei.

Victor Chin Boon Long
Ahli perniagaan Victor Chin akan mendedahkan semua maklumat berkaitan jika diperlukan bawah kerangka perundangan sewajarnya termasuk melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja. (Gambar MMAG)
PETALING JAYA:
Victor Chin mendedahkan beliau memfailkan saman terhadap apa yang digelar sebagai ‘mafia korporat’, diterajui seorang ahli perniagaan terkenal disifatkannya dalang di sebalik ‘cubaan merampas’ sebuah syarikat teknologi berasaskan keselamatan.

Dalam kenyataan, ahli perniagaan itu berkata individu tersebut, yang dinamakan sebagai defendan pertama, menggunakan pengaruhnya untuk mengenakan tekanan penguatkuasaan terhadap kepimpinan dan pemegang saham syarikat itu, termasuk melalui siasatan bawah Pasukan Petugas Khas Anti Pengubahan Wang Haram Bukit Aman.

Dakwanya, tekanan itu menyebabkan pembekuan akaun bank dan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), penahanan reman individu dikaitkan dengan pemegang saham syarikat tersebut, serta ugutan terhadap syarikat memegang saham besar dalam firma berkenaan, yang merupakan sebuah entiti tersenarai awam.

Berdasarkan nombor kes diberikan Chin, perkara itu dijadualkan untuk e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Adira Adnan, pada 5 Mei jam 9 pagi.

Pada 30 Mac, polis mengesahkan Chin antara 10 individu ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti pengubahan wang haram menerusi Op Viking dari 15 Okt 2025 hingga 13 Jan lalu.

Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid, berkata Chin ditahan pada Disember lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis, namun ahli perniagaan itu mungkin dipanggil semula jika perlu.

Beliau berkata, kes itu melibatkan beberapa individu disyaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian.

Menerusi operasi itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan dan 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad, akaun CDS bernilai RM323,588,293, akaun dagangan RM64,246,417, dan 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.

Pada 16 Mac lalu, polis mengesahkan menyerbu beberapa premis milik Chin, didakwa terlibat dalam manipulasi korporat yang kononnya berkait dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dakwaan mengenai perkara itu mula timbul dalam laporan Bloomberg pada hujung Februari, sekali gus mencetuskan desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan.

Laporan itu mendakwa, satu rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada pihak pengurusan supaya menjual saham dalam syarikat yang disasarkan, sekali gus memaksa pengambilalihan.

Jemaah Menteri kemudian mengarahkan polis, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan itu tanpa mengehadkan skop hanya kepada individu yang sedang disiasat.

“Saya sedia mendedahkan segala-galanya,” kata Chin.

Chin berkata akan mendedahkan semua maklumat berkaitan jika diperlukan bawah kerangka perundangan sewajarnya, termasuk melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja.

“Namun, hanya melalui proses rasmi seperti itu saya dapat, dan berkewajipan, untuk berkongsi sepenuhnya serta secara terperinci apa yang saya tahu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.