
Dalam sepucuk surat bertarikh 3 Mac, pengarah JHEAIPP, Marzuki Hassan berkata jabatan itu menerima aduan daripada Persatuan Anak Jati Melayu berhubung acara anjuran Persatuan Tean Hock Keong.
“Oleh kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu aktiviti keagamaan masyarakat Islam, maka pihak Persatuan Tean Hock Keong tidak dibenarkan untuk menganjurkan majlis rumah terbuka sempena perayaan.
“Untuk maklumat pihak persatuan, semua aktiviti agama Islam termasuk apa-apa sambutan berkait Hari Raya Aidilfitri adalah tertakluk kepada kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang,” kata Marzuki dalam surat yang dilihat FMT.
Bagaimanapun, dalam satu surat bertarikh 5 April kepada JHEAIPP, persatuan itu menjelaskan bahawa majlis rumah terbuka itu bertujuan memupuk perpaduan, mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.
Setiausahanya Ng Choong Seong berkata majlis itu dirancang dengan teliti selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Jabatan Integrasi Nasional Pulau Pinang serta melalui perbincangan dengan pemimpin utama masjid, surau, dan wakil persatuan tempatan yang bersetuju dengan penganjuran itu.
Beliau berkata makanan yang disediakan juga adalah halal dan disediakan oleh perkhidmatan katering milik penduduk tempatan sebagai tanda sokongan kepada komuniti setempat.
Persatuan itu juga memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju untuk meminda semula poster asal, termasuk tajuk acara, nama penganjur dan lokasi, selepas menerima maklum balas daripada beberapa pihak bahawa versi awal adalah ‘kurang sesuai’.
“Kami berasa kesal kerana terdapat aduan yang menyebabkan program bermakna ini terpaksa dibatalkan,” kata Ng.
“Walaupun kami bersetuju untuk menukar lokasi dan tajuk program ini, kami tetap menghormati keputusan JHEAIPP untuk membatalkan program tersebut, walaupun tujuan utamanya adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.”