
KPDN dalam kenyataan di Facebook berkata pihaknya ambil maklum mengenai mesej tersebut yang tular di media sosial.
Katanya, pelarasan harga yang dipapar itu sebenarnya melibatkan silinder gas komersial dan bukan silinder gas domestik bersubsidi.
“Bagaimanapun, satu tindakan segera diambil bagi memanggil pihak syarikat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan bersandarkan perundangan Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Sebarang kenaikan harga dalam senarai barang kawalan seperti LPG perlu dirujuk kepada pihak KPDN,” kata kenyataan itu.
Semalam, tular notis dari sebuah syarikat yang memaklumkan mengenai pelarasan harga LPG melibatkan C14C (14kg komersial) iaitu kenaikan RM14 bagi setiap tong dan C50 (50kg) dengan kenaikan RM50 setiap tong.
Pengguna dinasihat melaporkan sebarang maklumat tidak sahih atau memanjangkan aduan kepada KPDN menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.