Pelan 10 perkara Iran perlu diterjemah ke perjanjian damai menyeluruh, kata Anwar

Pelan 10 perkara Iran perlu diterjemah ke perjanjian damai menyeluruh, kata Anwar

Perdana menteri kata pelan dicadang Iran itu boleh kembalikan keamanan bukan sahaja di Asia Barat malah di seluruh dunia.

anwar ibrahim kakitangan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melahirkan harapan agar rundingan itu dijalankan dengan niat baik, sambil memberi amaran bahawa proses itu akan gagal jika ‘diselubungi penipuan dan muslihat’.
PETALING JAYA:
Pelan 10 perkara yang dicadangkan Iran bagi menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) mesti diterjemahkan kepada satu perjanjian damai yang menyeluruh, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menyambut baik gencatan senjata selama dua minggu antara AS dan Iran, Anwar melahirkan harapan agar rundingan itu dijalankan dengan niat baik, sambil memberi amaran bahawa proses itu akan gagal jika ‘diselubungi penipuan dan muslihat’.

“Cadangan ini memberi petanda baik ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau ini malah di seluruh dunia,” katanya dalam hantaran media sosial.

“Adalah penting pelan 10 perkara ini diterjemahkan kepada satu perjanjian damai yang menyeluruh, bukan sahaja untuk Iran, tetapi juga untuk Iraq, Lubnan dan Yaman.

“Selain itu, pihak-pihak yang terlibat bertanggungjawab memastikan berakhirnya pembunuhan beramai-ramai dan perampasan hak rakyat Palestin, khususnya di Gaza.”

Kenyataan beliau susulan laporan Presiden AS, Donald Trump, bersetuju dengan gencatan senjata dua minggu dengan Iran, kurang dua jam sebelum tempoh akhir yang ditetapkannya untuk Tehran membuka semula Selat Hormuz atau berdepan serangan meluas terhadap infrastruktur awamnya.

Pelan 10 perkara yang dikemukakan melalui perantara di Pakistan, menggesa Washington mengiktiraf program pengayaan uranium Iran serta menarik balik semua sekatan.

Antara tuntutan utama lain ialah pengunduran tentera AS dari Timur Tengah, penamatan serangan ke atas Iran dan sekutunya, melepaskan aset Iran yang dibekukan, serta satu resolusi mengikat oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Anwar turut memuji Pakistan dan perdana menterinya, Shehbaz Sharif, atas usaha diplomatik mereka yang ‘tidak kenal lelah dan berani’ dalam menjayakan pelan tersebut.

“Kesediaan Pakistan untuk berunding dengan semua pihak, tanpa rasa takut atau pilih kasih, mencerminkan tradisi tertinggi solidariti umat Islam dan tanggungjawab antarabangsa,” katanya.

Perdana menteri turut menggesa masyarakat antarabangsa memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat peperangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.