‘Perbandingan tak tepat’, Fuziah perjelas beza Madani Mart, KR1M

‘Perbandingan tak tepat’, Fuziah perjelas beza Madani Mart, KR1M

Timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata kedua-dua inisiatif beroperasi dengan model berbeza secara asas.

Inisiatif Madani Mart dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu dengan pembukaan cawangan pertama di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh menyanggah laporan sebuah akhbar tempatan berhubung perbandingan struktur operasi Madani Mart dengan model inisiatif terdahulu, sambil menyifatkannya sebagai ‘tidak tepat’.

Ini kerana katanya, kedua-dua inisiatif tersebut beroperasi di atas landasan yang sangat berbeza.

“Perbandingan ini tidak tepat kerana kedua-dua inisiatif beroperasi dengan model berbeza secara asas.

“Madani Mart tidak membabitkan sebarang peruntukan dana kerajaan, sebaliknya dilaksanakan melalui model kerjasama strategik bersama pengusaha berkelayakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, sebuah artikel rencana di Berita Harian Ahad lepas mengulas latar belakang inisiatif Madani Mart, sebagai instrumen intervensi bagi membantu rakyat mengurangkan tekanan pasaran susulan ketidaktentuan kos sara hidup.

Berbeza dengan KR1M sebelum ini, rencana tersebut turut menjelaskan program terbabit direka untuk memendekkan rantaian bekalan dengan memanfaatkan kapasiti logistik dan pergudangan sedia ada milik sektor swasta.

Menurutnya, strategi terbabit membolehkan barangan keperluan asas dijual pada harga lebih rendah tanpa memerlukan suntikan subsidi tunai yang besar atau bajet pengoperasian daripada kerajaan.

Inisiatif Madani Mart dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu dengan pembukaan cawangan pertama di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.

Madani Mart merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat, berteraskan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’.

KPDN menyasarkan sekurang-kurangnya 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun, disokong enam hab pengedaran utama.

Sejak inisiatif Madani Mart diperkenalkan, banyak pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyindir pelaksanaannya yang dilihat mempunyai persamaan dengan konsep KR1M diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Bagaimanapun, Fuziah yang juga pengerusi bersama Yayasan Madani menolak dakwaan tersebut dan menegaskan model itu menggunakan pendekatan baharu tanpa melibatkan perbelanjaan modal kerajaan.

KR1M diperkenal pada 2011 oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak untuk menjual barangan 30% lebih rendah daripada pasaran, bagaimanapun hanya bertahan sehingga 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.