
Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesan daripada himpunan itu kerana ia bukan dianjurkan sayap parti.
“Saya menafikan anjuran himpunan seperti yang sedang tersebar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, Pemuda PAS tidak pernah mengeluarkan arahan atau merancang sebarang perhimpunan seperti didakwa, sambil menyifatkan penganjuran tersebut tidak menepati amalan biasa organisasi itu.
Katanya, jika Pemuda PAS merancang sesuatu himpunan, ia akan dilakukan dengan persiapan rapi termasuk pematuhan prosedur bersama pihak berkuasa serta penyelarasan kehadiran peserta.
“Sebarang himpunan pasti akan dirancang dengan teliti oleh pihak Pemuda PAS jika ianya dianjurkan, termasuklah segala prosedur bersama pihak berkuasa dan kerahan yang lebih teratur. Ini bukan ‘standard’ Pemuda PAS menganjurkan himpunan,” katanya.
Sebaliknya, Khairul memaklumkan pada tarikh sama, PAS pusat akan mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Melaka, sekali gus menyangkal dakwaan berlaku mobilisasi ke ibu negara.
Terdahulu, tersebar poster ‘Himpunan Turun Anwar’ susulan kenaikan harga minyak didakwa anjuran Pemuda PAS bertempat di Dataran Merdeka, jam 5 petang, Sabtu ini.