
Farhan Haiqim Isa, 24, dalam keterangan pada perbicaraan lima ahli keluarga penyerang berkata dirinya berada di balai polis tersebut pada 17 Mei 2024, kira-kira jam 1 pagi iaitu sekitar sejam sebelum serangan berlaku.
Saksi ketiga itu berkata dirinya sedang menemani bekas kekasih yang mahu membuat laporan berhubung dakwaan gangguan seksual.
Farhan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka bersembunyi bawah meja selepas terdengar jeritan di luar balai, dan bersembunyi sehingga keadaan kembali tenang.
Serangan tersebut meragut nyawa dua anggota polis. Penyerang, Radin Luqman Radin Imran, 21, maut ditembak di tempat kejadian.
Farhan berkata dirinya kemudian direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, dirinya ditempatkan di lokap yang sama dengan bapa penyerang, Radin Imran Radin Yassin, dan abangnya, Radin Romyullah, sepanjang tempoh tahanan di IPD Seri Alam.
Menurutnya, Radin Imran, 64, menangis semasa satu perbualan dan mendakwa seekor ‘burung hijau’ membawa roh anaknya ke syurga.
“Dia sedih kerana anaknya tidak mengajaknya menyerang balai polis,” tambah Farhan.
Menurutnya, Radin Imran berkata polis, tentera, dan penjawat awam boleh dibunuh kerana darah mereka adalah ‘halal’.
Katanya, Radin Imran juga mendakwa dia jarang keluar rumah kerana jika berbuat demikian, dia berkewajipan untuk menyebarkan ideologinya, yang dianggap sebagai jihad.
Katanya lagi, Radin Imran beritahu dia tidak mempunyai hubungan baik dengan abangnya yang enggan mengikut pegangannya. “Dia meluahkan keinginan untuk membunuh abang sendiri,” katanya.
Farhan mengakui pada mulanya berasa simpati pada lelaki itu, namun kemudian menganggapnya sebagai berbahaya dan bimbang akan keselamatan dirinya.
Farhan menambah dirinya tidak bercakap dengan Radin Romyullah, dan menyifatkan lelaki itu sebagai seorang pendiam.
Radin Imran didakwa atas pertuduhan mempromosikan ideologi pengganas dan menyokong kumpulan IS, serta didakwa mendoktrin isteri dan anak-anak dengan ajaran IS antara hujung 2014 hingga Mei 2024.
Dia juga berdepan tiga pertuduhan menyokong keganasan, termasuk menyimpan senjata api buatan sendiri untuk memudahkan aktiviti berkaitan IS, berikrar taat setia kepada ketua kumpulan itu, dan memiliki bahan berkaitan organisasi militan tersebut.
Isterinya, Rosna Jantan, 61, dan anak perempuan mereka, Farhah Sobrina, 25, serta Mariah, 21, masing-masing berdepan pertuduhan iaitu gagal memberikan maklumat mengenai kesalahan berkaitan keganasan.
Radin Romyullah, 36, berdepan satu pertuduhan menyokong IS dan satu lagi pertuduhan memiliki cakera keras mengandungi bahan berkaitan IS.
Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam mengetuai pihak pendakwaan, manakala Faizal Rahman dan Fatimah Zulaikha Ahmad Bashri mewakili semua lima tertuduh.
Dalam kejadian itu, anggota polis iaitu Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Syafiq Ahmad Said terkorban, manakala seorang lagi anggota, Hasif Roslan, cedera.
Perbicaraan di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Nor bersambung esok.