Tak perlu hukuman mati untuk kes pemandu mabuk, kata Loke

Tak perlu hukuman mati untuk kes pemandu mabuk, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata ia bukan sesuatu yang dipertimbangkan memandangkan kerajaan telah memansuhkan hukuman mati mandatori.

anthony loke
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pemandu mabuk sudah boleh didakwa atas kesalahan membunuh jika tindakan mereka menyebabkan kematian orang lain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Loke Siew Fook menolak kemungkinan memperkenalkan hukuman mati di bawah Akta Pengangkutan Jalan bagi kes memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, walaupun terdapat desakan daripada beberapa pihak untuk berbuat demikian.

Menteri Pengangkutan itu berkata, ia bukan sesuatu yang dipertimbangkan memandangkan kerajaan telah memansuhkan hukuman mati mandatori.

“Jadi ini bukan sesuatu yang sedang kita pertimbangkan,” katanya kepada pemberita di sini.

Loke berkata, setakat ini pemandu mabuk sudah boleh didakwa atas kesalahan membunuh jika perbuatan mereka menyebabkan kematian orang lain.

“Sudah ada undang-undang sedia ada (untuk menangani pemandu mabuk).”

Bulan lalu, Loke berkata kementeriannya mencadangkan pindaan undang-undang untuk mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada keluarga mangsa, susulan kemalangan maut di Klang yang melibatkan seorang pemandu yang didakwa berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Loke ketika itu berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang memandu di bawah pengaruh bahan terbabit.

Menteri itu berkata pindaan yang dicadangkan kepada Akta Pengangkutan Jalan bertujuan untuk meringankan beban keluarga mangsa, yang ketika ini perlu mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan pampasan.

“Ketika ini, saluran untuk keluarga mangsa adalah melalui tindakan sivil, yang rumit, memakan masa, dan melibatkan kos,” katanya.

Loke berkata pindaan tersebut sedang digubal dan dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Jun.

“Dengan cara ini, keluarga tidak perlu melalui proses sivil yang berasingan untuk mendapatkan pampasan,” katanya.

Ahli Parlimen pembangkang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini menggesa kerajaan mempertimbangkan hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang disabitkan kesalahan.

Beliau berkata mereka yang memilih untuk memandu walaupun di bawah pengaruh sepatutnya dianggap secara automatik mempunyai niat untuk membunuh.

Ketika ini, Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyatakan bahawa mereka yang disabitkan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu di bawah pengaruh boleh dikenakan penjara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, dengan hukuman lebih berat bagi pesalah berulang.

Baru-baru ini, pertuduhan membunuh telah dikenakan ke atas dua pemandu yang menyebabkan kematian ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.