Malaysia gesa AS tarik semula tindakan sekat di Selat Hormuz

Malaysia gesa AS tarik semula tindakan sekat di Selat Hormuz

Menteri Mohamad Hasan berkata tindakan itu boleh menjejaskan bekalan tenaga dunia dan menggugat kestabilan ekonomi global.

Strait of Hormuz
Media antarabangsa melaporkan Presiden Donald Trump arah sekatan laut oleh Tentera Laut AS di Selat Hormuz susulan kegagalan rundingan damai dengan Iran. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan semula tindakannya menyekat pergerakan kapal di Selat Hormuz, susulan kebimbangan ia boleh menjejaskan bekalan tenaga dunia dan menggugat kestabilan ekonomi global.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata tindakan itu boleh menghalang kapal dagang dan kargo keluar masuk Teluk Parsi, sekali gus memberi kesan besar kepada bekalan tenaga dan baja di peringkat antarabangsa, lapor Berita Harian.

Mohamad Hasan.

Beliau mempersoalkan langkah AS itu terutama selepas Iran sebelum ini dilapor bersetuju membuka laluan di selat berkenaan dengan beberapa syarat.

“Saya tidak tahu apa tujuan Amerika mengepung Selat Hormuz. Sebelum ini mereka menyeru kerjasama dengan negara Eropah untuk membuka laluan itu, tetapi sekarang mahu mengepungnya pula.

“Tindakan ini akan memburukkan lagi keadaan, bukan sahaja dari segi bekalan tenaga, malah baja ke seluruh dunia,” katanya selepas satu program di Rembau.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, Malaysia berharap AS menarik balik sebarang bentuk kepungan bagi memastikan laluan perdagangan di selat berkenaan dapat beroperasi seperti biasa.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Presiden Donald Trump mengarahkan sekatan laut oleh Tentera Laut AS di Selat Hormuz susulan kegagalan rundingan damai dengan Iran, sekali gus meningkatkan ketegangan di rantau itu.

Mohamad berkata ketika ini semua kapal di Selat Hormuz tidak dapat bergerak, termasuk enam kapal milik Malaysia yang masih terkandas.

Katanya, semua pihak terlibat perlu kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Dunia tidak sepatutnya dijadikan mangsa kepada peperangan yang tidak membawa apa-apa faedah.

“Saya minta Amerika Syarikat memikirkan semula tindakan mereka kerana ekonomi dunia, termasuk sektor pertanian dan tenaga, akan menjadi lebih meruncing,” katanya yang turut menggesa Iran membenarkan kapal melalui Selat Hormuz demi kepentingan sejagat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.