
Katanya, langkah itu diambil bagi mengurangkan risiko kesesakan lalu lintas dan memastikan tindak balas yang pantas serta tersusun di lokasi kejadian.
Menurut MTA, antara strategi utama dalam pelan kontingensi tersebut termasuk pelantikan panel berdaftar dan rakan strategik yang sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan.
“Selain itu, pengoperasian talian bantuan 24 jam bagi memudahkan koordinasi yang lebih lancar antara pelanggan dan pihak penyedia khidmat di lapangan,” kata persatuan menerusi kenyataan kepada FMT.
Kenyataan itu menyusul susulan laporan Utusan Malaysia baru-baru ini, sebilangan pengusaha trak tunda mula memboikot tawaran perkhidmatan daripada syarikat insurans selepas kadar bayaran sedia ada didakwa tidak lagi mampu menampung kos operasi, berikutan kenaikan mendadak harga diesel ketika ini.
Pengusaha mendakwa, kadar perkhidmatan tunda bawah insurans kekal pada paras RM3 bagi setiap kilometer sejak lima tahun lalu itu menyebabkan pendapatan mereka merosot antara 60% hingga 75%.
Mengulas lanjut, MTA bagaimanapun berkata dakwaan mengenai kadar tetap RM3 bagi setiap kilometer itu tidak menggambarkan amalan semasa dalam pasaran.
“Perkhidmatan tunda, termasuk kadar yang dikenakan, berbeza antara syarikat bergantung kepada cara operasi dan panel masing-masing, jadi ia tidak boleh disamaratakan,” katanya.
Persatuan itu berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai struktur kadar tertentu buat masa ini kerana ia tertakluk kepada polisi syarikat individu serta perkara yang masih dalam pertimbangan industri.
Semalam, FMT melaporkan gesaan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) untuk pihak industri menyemak semula kadar upah tunda agar selari dengan kos semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif, T Saravanan, berkata situasi itu dikhuatiri akan membuka ruang kepada pihak tidak berlesen atau ‘ulat’ untuk mengambil kesempatan.