
Penasihat Strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Budiman Mohd Zohdi, berkata penyebaran maklumat tidak tepat antaranya dakwaan bekalan diesel ke Filipina baru-baru ini dan pembelian panik bekalan makanan seperti beras menyebabkan rakyat menghadapi keresahan.
“Kita mesti ada tapisan kendiri. Sebab itu, saya selalu mengingatkan kawan-kawan kalau hendak berkongsi, fikir dahulu dan kita ada (sumber) maklumat yang tidak diragui dari segi kredibiliti contohnya Bernama sebagai sebuah agensi yang mengeluarkan maklumat rasmi daripada pihak kerajaan dan paparan berita.
“Kalau semua mengambil maklumat daripada sumber yang rasmi sudah tentulah ini akan meminimumkan risiko salah faham terhadap maklumat yang mereka terima,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Fokus 30 terbitan Bernama Radio, hari ini.
Budiman berkata, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak benar yang memberi persepsi buruk oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menunggang kesusahan rakyat ketika krisis yang memberikan tekanan kepada ekonomi domestik.
Dalam pada itu, beliau berkata rakyat perlu mengambil kira tiga teras untuk mengubah cara hidup dengan mengambil pendekatan sederhana dan berjimat cermat dalam menghadapi situasi kini yang menyaksikan kos perbelanjaan semakin meningkat.
“Pertama jangan bermewah-mewah, guna apa yang perlu tetapi ia bergantung kepada keluarga dan kalau dulu, mungkin setiap hari minum kopi berjenama namun dengan adanya kaedah peringatan ini, bukan berhenti terus tetapi mungkin kurangkan.
“Kedua, kaedahnya adalah berjimat cermat dengan membeli barang yang perlu dan mengikut keperluan serta yang ketiga adalah pemikiran strategik untuk bertukar kepada kereta yang lebih kecil kerana kita kena ingat, kalau kita naik kereta dengan kuasa diesel boleh jadi perbelanjaan kita akan meningkat dengan suasana pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berusaha mengambil langkah terbaik dalam menghadapi krisis tenaga global termasuk mengekalkan harga subsidi RON95 bawah program Budi Madani (BUDI95) pada RM1.99 seliter yang dapat membantu mengurangkan beban rakyat.
Katanya, usaha kerajaan memperkukuh hubungan diplomatik dengan kerajaan Iran juga telah mempermudah kapal Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz meneruskan perjalanan pulang sekali gus menangani isu secara strategik.