2 pegawai penguat kuasa antara direman berkait rasuah RM500,000

2 pegawai penguat kuasa antara direman berkait rasuah RM500,000

Suspek dipercayai menerima rasuah secara bulanan bernilai kira-kira RM500 hingga RM30,000 seorang daripada beberapa syarikat kenderaan berat.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi.
PETALING JAYA:
Tiga penjawat awam agensi penguatkuasaan di Sabah direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas lori milik syarikat yang melakukan kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perintah reman tujuh hari hingga 22 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Tawau pagi tadi.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an ditahan antara jam 4 dan 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Tawau.

Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 dan menerima rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing.

“Ketiga-tiga suspek terdiri dua pegawai dan seorang anggota penguat kuasa turut dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan bernilai kira-kira RM500 hingga RM30,000 seorang daripada beberapa syarikat kenderaan berat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.