Ahli Parlimen bidas kerajaan Selangor berdiam diri isu penjualan tanah hutan di Kinrara

Ahli Parlimen bidas kerajaan Selangor berdiam diri isu penjualan tanah hutan di Kinrara

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata lebih 7,500 penduduk telah membantah cadangan pembangunan tersebut, dengan kebimbangan tertumpu kepada aspek keselamatan dan ketelusan.

Chua Wei Kiat (dua dari kiri) dan Wong Chen (ketiga dari kiri), bersama beberapa wakil penduduk termasuk Kathryn Wong (tiga dari kanan), melawat kawasan tanah dicadangkan untuk pembangunan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara.
SUBANG JAYA:
Ahli Parlimen Subang Wong Chen mengkritik kerajaan Selangor kerana gagal memberi maklum balas terhadap beberapa surat rasmi berkaitan penjualan tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, walaupun bantahan daripada penduduk semakin meningkat.

Menurut Wong, beliau telah menghantar tiga surat rasmi sejak Disember lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai penjualan kira-kira 68.4 hektar tanah yang dirancang untuk pembangunan, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan rasmi diterima.

“Kami kecewa kerana kerajaan negeri tidak memberi maklum balas terhadap surat rasmi kami,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Adun Rawang Chua Wei Kiat serta beberapa wakil penduduk.

Cadangan pembangunan itu mendapat tentangan hebat daripada penduduk setempat. Wong memaklumkan sebanyak 7,541 aduan telah dikemukakan berkaitan projek itu.

Beliau menegaskan isu sebenar bukanlah menolak pembangunan, tetapi kekurangan ketelusan dalam urusan penjualan tanah kepada Perano Properties Development Sdn Bhd, termasuk tujuan dan harga jualan.

Wong turut membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan muka bumi kawasan itu yang menurutnya sebahagiannya curam dan berisiko.

“Apa yang saya risaukan ialah keselamatan penduduk. Mereka berhak menikmati kawasan hijau, persekitaran yang baik, dan tidak mahu rumah mereka berdepan risiko tanah runtuh pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata Chua telah mengemukakan soalan berkaitan urusan tanah itu untuk dibincangkan dalam sidang DUN Selangor yang akan bermula pada 20 April, dengan harapan kerajaan negeri akan memberi penjelasan rasmi.

Cadangan beli semula dan wartakan semula sebagai hutan simpan

Wong mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan untuk membeli semula tanah tersebut daripada pemaju, sama ada sebahagian atau sepenuhnya.

“Jika kerajaan negeri tidak mampu membeli keseluruhan kawasan, sekurang-kurangnya beli semula bahagian yang curam dan berbahaya,” katanya sambil menganggarkan kos keseluruhan sekitar RM193 juta berdasarkan data yang ada.

Seorang wakil penduduk, Kathryn Wong, turut menggesa tanah itu dibeli semula dan diwartakan kembali sebagai hutan simpan kekal.

Sebelum ini, Exco Selangor Jamaliah Jamaluddin menjelaskan tanah itu telah dikeluarkan daripada status Hutan Simpan Ayer Hitam sejak tahun 1926 dan tidak lagi diklasifikasikan sebagai hutan simpan kekal.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan setakat ini belum menerima sebarang permohonan pembangunan bagi kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.