
Yeoh berkata, program-program tersebut mencerminkan keterbukaan kerajaan untuk berkolaborasi dengan inisiatif sektor swasta.
“Bukan semua program sesuai untuk setiap individu, namun kepelbagaian inisiatif yang dilaksanakan membolehkan masyarakat pilih aktiviti yang selari dengan minat dan gaya hidup masing-masing.
“Ini inisiatif yang kita sambut baik. Jika bangun awal dan minum kopi, akan dapat diskaun,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Kerjasama antara CIMB Bank Bhd dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Beliau berkata demikian susulan timbulnya persoalan mengenai keberkesanan inisiatif berkenaan, yang menawarkan kopi pada harga diskaun pada awal pagi bagi menggalakkan pengguna jalan raya memasuki pusat bandar lebih awal, mengurangkan kesesakan waktu puncak.
Sebagai sebahagian kempen tersebut, kira-kira 250 cawangan Zus Coffee di Kuala Lumpur dan Putrajaya menawarkan minuman pada harga diskaun kepada pelanggan yang membuat pesanan melalui aplikasi mudah alihnya antara 7 pagi hingga 8 pagi.
Yeoh berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam memperkenalkan idea serta program baharu selagi ia memberi manfaat kepada orang awam.
“Daripada tidak buat apa-apa, lebih baiklah (kita) laksanakan pelbagai inisiatif. Setiap program mungkin ada kekurangan, tetapi ia tetap beri nilai kepada kumpulan sasar tertentu,” tambahnya.
Beliau juga berkata, kerajaan tidak mampu menangani setiap satu keperluan bandar, lantas menjadikan kerjasama dengan sektor swasta suatu perkara yang penting untuk mempercepat inisiatif berimpak tinggi.