
Pencapaian itu mencerminkan lebih dua dekad pembangunan keupayaan kardiotorasik secara konsisten, termasuk pengendalian kes jantung kompleks di peringkat negeri.
Menurut KPJ Healthcare, kira-kira 80% daripada prosedur itu melibatkan pembedahan pintasan arteri koronari (CABG), manakala selebihnya terdiri daripada penggantian injap dan prosedur kardiotorasik kompleks lain.
Hospital itu menyatakan kebanyakan pesakit yang dirawat mempunyai pelbagai keadaan kesihatan yang kompleks, memerlukan pendekatan rawatan bersepadu merentasi pelbagai kepakaran serta pengurusan perioperatif yang teliti.

Program berkenaan diterajui Pakar Bedah Kardiotorasik Residen Dr Ko Chung Sen yang telah mengendalikan 3,287 kes sepanjang kerjayanya, dengan 3,000 daripadanya dilakukan di ISH.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata pencapaian itu bukan sekadar jumlah kes, tetapi menunjukkan keupayaan hospital mengendalikan kes kompleks dengan selamat di luar ibu negara.
“Ia mencerminkan bagaimana sistem KPJ menyokong penyampaian penjagaan pakar melalui standard bersama, kerjasama pelbagai disiplin dan pembangunan keupayaan berterusan,” katanya.

Beliau berkata usaha itu juga selari dengan komitmen kumpulan untuk memperluas akses kepada perkhidmatan pakar lebih dekat dengan komuniti.
Sementara itu, Ko berkata kejayaan itu hasil usaha kolektif seluruh pasukan perubatan.
“Setiap kes memerlukan perancangan teliti, ketepatan serta koordinasi rapi, khususnya bagi pesakit berisiko tinggi atau mempunyai keadaan kesihatan kompleks,” katanya.

Pengarah Perubatan ISH Dr Luis Chen Shian Liang berkata pihaknya akan terus melabur dalam kemudahan, teknologi dan pasukan pelbagai disiplin bagi memastikan rawatan kardiotorasik dapat diberikan dengan berkesan.
Pencapaian itu turut memperkukuh peranan hospital dalam memperluas akses rawatan jantung di Wilayah Utara, sekali gus membolehkan pesakit mendapatkan rawatan lebih dekat tanpa perlu ke Kuala Lumpur.