
UM berkata peraturan pertandingan menetapkan setiap persembahan mesti bebas daripada ‘unsur negatif, provokasi, atau kandungan yang boleh menjejaskan nilai agama, moral, etika dan budaya serta nama baik universiti.’
Universiti itu berkata penelitian mendapati babak kontroversi tersebut tidak terdapat dalam skrip asal yang telah ditapis terlebih dahulu dan ia jelas pelanggaran terhadap peraturan pertandingan.
“UM memohon maaf atas kecuaian yang berlaku dan kebimbangan yang timbul akibat kejadian ini. Universiti tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran garis panduan atau peraturan yang telah ditetapkan.
“Pementasan berkenaan diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai dan tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan ia tidak berulang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas pentas tular di media sosial yang mendapat kecaman warganet.