
Perkara itu dikongsi Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin yang menzahirkan rasa sedih atas pemergian Kee, yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin dihormati.
“Saya berpeluang berkhidmat di bawah kepimpinan beliau semasa di Kuala Lumpur Kepong Berhad.
“Beliau seorang pemimpin dihormati yang dedikasi, kebijaksanaan dan komitmennya memberi kesan mendalam kepada ramai yang pernah bekerja dengannya,” katanya di Facebook sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan mendiang.

Sementara itu, Timbalan Operasi dan Kesiapsiagaan Badan Nasional Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Edy Prakoso berkata warga Malaysia itu antara seorang daripada enam penumpang dalam pesawat berkenaan, selain dua kru iaitu juruterbang dan juruteknik, lapor Bernama.
“Benar, seorang daripada mangsa merupakan warganegara asing dari Malaysia,” katanya menurut laporan Agensi Berita Antara.
Mangsa lain termasuk Kapten Marindra W (juruterbang), Harun Arasyid (juruteknik), serta lima penumpang lain iaitu Victor T, Charles L, Joko C, Fauzie O dan Sugito.
Helikopter yang dikendalikan Matthew Air Nusantara itu berlepas pada 7.34 pagi waktu tempatan dari Kabupaten Melawi sebelum dilaporkan terputus hubungan pada 8.39 pagi ketika dalam perjalanan ke Kabupaten Kubu Raya.
Pengarah Kesiapsiagaan Basarnas, Noer Isrodin berkata semua mayat mangsa telah dipindahkan ke Hospital Bhayangkara di Pontianak untuk proses pengecaman.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, punca nahas masih belum dikenal pasti, manakala laporan awal dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari.