
Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di platform X oleh Menteri Luar Iran Abbas Araqchi dan disambut baik serta-merta oleh Presiden AS, Donald Trump.
Araqchi berkata: “Selaras dengan gencatan senjata di Lubnan, laluan untuk semua kapal perdagangan melalui Selat Hormuz kini dibuka sepenuhnya sepanjang baki tempoh gencatan senjata, mengikut laluan yang telah diselaraskan seperti diumumkan oleh Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim Republik Islam Iran.”
Sebagai respons, Trump menulis: “Iran telah mengumumkan Selat Iran dibuka sepenuhnya dan sedia untuk dilalui. Terima kasih!”
Beliau kemudian menambah sekatan tentera laut Amerika Syarikat ke atas pelabuhan Iran akan terus dikekalkan, ‘sehingga urusan dengan Iran selesai sepenuhnya’.
Namun, beliau menjangka proses itu akan berjalan ‘dengan sangat cepat’ kerana kebanyakan perkara yang dibincangkan dalam rundingan antara kedua-dua negara sebenarnya ‘sudah pun dipersetujui lebih awal.
Walaupun gencatan senjata selama dua minggu antara AS dan Iran akan berakhir pada Selasa, Iran sebelum ini masih belum membuka sekatan di laluan perairan itu.
Tehran juga menyatakan tiada sebarang perjanjian akan dicapai selagi Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan.