Azalina harap Kementerian Undang-undang ditubuh tahun depan

Azalina harap Kementerian Undang-undang ditubuh tahun depan

Menteri undang-undang dan reformasi institusi berkata ia susulan pertambahan fungsi dan tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal Undang-undang.

AZALINA_OTHMAN
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata penubuhan kementerian itu dapat perkukuh penyampaian perkhidmatan perundangan kepada rakyat, sejajar perubahan landskap semasa.
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berharap cadangan penubuhan Kementerian Undang-undang dapat direalisasikan tahun depan.

Beliau berkata, pandangan itu selari keperluan semasa berikutan pertambahan fungsi serta tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) susulan pelbagai pindaan undang-undang yang dilaksanakan.

“Sepatutnya (BHEUU) menjadi satu kementerian supaya kita melihat undang-undang ini (menjadi) satu elemen yang sangat penting bagi rakyat bukan saja dilihat di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Bukannya JPM tak penting. Maksud saya dengan ada kementeriannya sendiri, dengan adanya ketua setiausaha, setiausaha bahagian, ketua pengarah (maka) dapat bergerak dengan lebih efektif untuk membantu rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice on Wheels dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman di sini.

Beliau berkata, cadangan itu sebelum ini adalah pandangan peribadinya, namun berharap ia dapat diterjemahkan sebagai dasar kerajaan pada masa depan.

Jelasnya, antara skop semakin berkembang termasuk penubuhan tribunal seperti tribunal antibuli, pengukuhan bantuan guaman serta peranan pembelaan awam yang memerlukan struktur pentadbiran lebih tersusun.

“Banyak pindaan yang kita buat memberikan lebih banyak tugas dan tanggungjawab kepada bahagian undang-undang di bawah JPM, termasuk dari segi petugas dan keperluan jabatan.”

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan keperluan menstruktur semula fungsi berkenaan di bawah sebuah kementerian khusus bagi memastikan pengurusan lebih bersepadu dan berkesan.

Justeru, Azalina berpandangan penubuhan Kementerian Undang-undang dilihat dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan perundangan kepada rakyat, sejajar perubahan landskap undang-undang semasa.

Pada 21 Ogos 2025, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan sedang menimbang penubuhan Kementerian Undang-undang bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.

Katanya, langkah itu juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota Asean.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.