
Pengarah Bersama Interim Serantau Amnesty untuk Asia Timur, Asia Tenggara, dan Pasifik Montse Ferrer berkata, Malaysia bukanlah satu-satunya kuasa pertengahan yang terperangkap dalam jerat ‘dwistandard’.
“Malaysia sangat menyokong pelbagai gesaan menentang Israel dalam konteks Gaza, tetapi berdiam diri atau mengambil pendirian yang sama sekali berbeza berhubung isu pengusiran etnik Rohingya mahupun Uyghur,” katanya pada sidang media di London.
Kenyataan Ferrer itu dibuat susulan laporan bahawa Malaysia telah menahan dan mengusir seorang cendekiawan Uyghur-Amerika Abdulhakim Idris pada 30 Mac.
Ferrer berkata, kuasa pertengahan seperti Malaysia berisiko mengamalkan sikap dwistandard apabila menjadikan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kuasa besar sebagai rujukan.
Pada 2024, Lubna Sheikh Ghazali daripada Asylum Access Malaysia mempersoalkan layanan Malaysia terhadap pelarian Rohingya, dengan menyatakan ia amat bertentangan dengan sokongan negara ini terhadap rakyat Palestin.
Lubna berkata, Malaysia ‘seolah-olah mengalami amnesia kolektif dan memilih-milih siapa yang berhak menerima perlindungan’.
Rakyat Malaysia telah menganjurkan pelbagai himpunan bagi menunjukkan solidariti bersama Palestin, yang kini terbabit konflik dengan Israel.